SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk segera melaksanakan penggunaan kamera badan atau ‘body camera’ kepada setiap anggota polis yang bertugas bagi memastikan tindakan semasa operasi direkod dengan jelas.
Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, penggunaan kamera badan atau kamera litar tertutup (CCTV) dalam operasi masih terhad menyebabkan sukar untuk mengesan sebarang salah laku secara langsung.
"Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa sektor penguatkuasaan antara yang berisiko tinggi dalam kes rasuah di Malaysia.
"Oleh itu, pemantauan ketat dan ketelusan perlu dipertingkatkan bagi memastikan integriti dalam institusi keselamatan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, polis akan melakukan siasatan dalaman terhadap tiga anggotanya yang dirakam dalam video tular mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan The Mines, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan berkenaan adalah bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran garis panduan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya.
Dalam pada itu, Hakim Hafizi menegaskan, bahawa integriti dan ketelusan dalam institusi penguatkuasaan undang-undang adalah sesuatu yang sangat penting.
"Dalam kes yang tular ini, kita perlu memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan.
"Namun, jika benar berlaku salah laku dalam sekatan jalan raya tersebut, ia jelas satu perbuatan tidak beretika dan melanggar amanah yang diberikan kepada anggota keselamatan.
"Adakah ini rasuah? Kita tidak boleh menuduh tanpa bukti yang sah, tetapi sebarang bentuk penerimaan wang atau manfaat tanpa sebab sah daripada orang awam sememangnya mencetuskan persoalan serius,” ujarnya.
Menurutnya, teknologi terkini membolehkan rakyat menjadi pemantau kepada sistem keadilan sekali gus, sebarang salah laku oleh penguat kuasa boleh didedahkan dengan mudah untuk diambil tindakan lanjut.
Tambah beliau, perkara tersebut secara tidak langsung juga memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk lebih berintegriti dan profesional apabila menjalankan tugas.
"Tetapi sebaliknya, jika rakaman ini disebarkan tanpa fakta lengkap, ia boleh mencetuskan spekulasi dan persepsi negatif terhadap seluruh pasukan polis, sedangkan mungkin hanya segelintir yang melakukan kesalahan.
"Kita tidak mahu stereotaip negatif ini menjejaskan imej keseluruhan institusi keselamatan negara... jadi seeloknya, jika ada salah laku, tindakan tegas perlu segera diambil,” kata Hakim Hafizi.