Kedah rangka garis panduan baharu larang pelihara anjing garang

Iklan
Mansor Zakaria (Laporan Sinar Harian mengenai serangan anjing Rottweiler yang pernah berlaku dua tahun lalu.)

BALING – Kerajaan negeri Kedah sedang merangka garis panduan baharu bagi melarang anjing jenis garang dan berbahaya daripada dipelihara sekali gus mempertingkatkan keselamatan di tempat awam.

Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, langkah itu diambil berikutan insiden membabitkan lima mangsa yang diserang oleh dua ekor anjing jenis Rottweiler yang dipercayai terlepas dari sangkar pemilik di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Kita merangka garis panduan selepas ini, kemungkinan besar kita tidak akan benarkan anjing spesies garang dibela di kawasan perumahan... bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku lagi.

"Tambahan pula, sudah ada dua kes dan kes kali ini melibatkan lima mangsa. Ini sangat serius,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mansor bagaimanapun telah melawat kesemua mangsa, iaitu tiga daripada mereka dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan dua lagi di hospital swasta di Sungai Petani.

Katanya, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil, termasuk ada yang telah menjalani pembedahan.

Iklan

"Luka mereka agak parah. Seorang makcik yang diserang paling awal agak trauma, manakala seorang lagi yang sedang berjoging mengalami kecederaan lebih serius. Kesemua mereka trauma.

"Mereka berharap kes ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dan sebab itu kita akan merangka garis panduan bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lima individu cedera selepas digigit oleh dua ekor anjing Rottweiler terbabit.

Video mengenai mangsa yang cedera turut tular di media sosial, memaparkan beberapa individu sedang dirawat dan dibawa menaiki ambulans susulan kecederaan akibat serangan anjing yang dipercayai terlepas dari sangkar.