Tarif baharu Trump gegarkan pasaran global, harga emas catat paras tertinggi

Iklan
Indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun jatuh lebih 1.0 peratus. Foto Reuters Indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun jatuh lebih 1.0 peratus. Foto Reuters
Indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun jatuh lebih 1.0 peratus. Foto Reuters

PENGUMUMAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung tarif timbal balik menyebabkan pasaran saham global merudum, sementara pelabur beralih kepada bon, emas serta yen.

Pakar Strategi Dagangan Kadar Global Citi, Ben Wiltshire berkata, sektor teknologi turut terjejas teruk apabila hab pembuatan di China dan Taiwan dikenakan tarif baharu melebihi 30 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah levi baharu terhadap import dari China kini mencecah 54 peratus.

"Kadar tarif efektif Amerika Syarikat terhadap semua import kini berada pada tahap tertinggi dalam lebih satu abad," katanya.

Iklan

Sementara itu, saham Apple paling terjejas susulan pengumuman tersebut, memandangkan syarikat itu menghasilkan iPhone di China dan sahamnya merosot hampir tujuh peratus.

Niaga hadapan Nasdaq jatuh 3.3 peratus, dan dalam dagangan selepas waktu pasaran, kira-kira AS$760 bilion nilai pasaran syarikat teknologi utama Magnificent Seven terhapus.

Iklan

Niaga hadapan S&P 500 susut 2.7 peratus, niaga hadapan FTSE jatuh 1.6 peratus, manakala niaga hadapan Eropah turun hampir dua peratus.

Dalam pada itu, harga emas mencecah paras tertinggi baharu melebihi AS$3,160 seauns manakala minyak, sebagai penunjuk pertumbuhan global, merosot lebih dua peratus dengan niaga hadapan Brent berada pada AS$73.24 setong.

Indeks Nikkei Jepun susut 2.8 peratus selepas jatuh ke paras terendah dalam lapan bulan lebih awal, dengan hampir semua ahli indeks mengalami kejatuhan, terutamanya syarikat perkapalan, bank, syarikat insurans dan pengeksport.

Indeks Morgan Stanley Capital Antarabangsa (MSCI) bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun juga jatuh lebih satu peratus.

Hasil bon Perbendaharaan 10 tahun AS turun 14 mata asas ke paras terendah lima bulan pada 4.04 peratus apabila pelabur bersedia menghadapi pertumbuhan yang lebih perlahan di AS. Sementara itu, niaga hadapan kadar faedah menjangkakan kemungkinan pemotongan kadar dalam bulan-bulan akan datang.

Ketua Ekonomi di firma penasihat kekayaan Robertson Stephens, Jeanette Gerratty berkata, tarif itu lebih menyeluruh dan jauh lebih besar daripada jangkaan pihaknya.

"Sebelum ini, orang ramai berbincang sama ada kejelasan akan meningkatkan pasaran. Namun kini, kejelasan sudah diperoleh, tetapi tiada siapa yang menyukainya," ujarnya.

Trump mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas import, dengan levi yang jauh lebih tinggi terhadap beberapa rakan dagang, terutamanya di Asia.

Selain cukai 34 peratus ke atas China, Jepun dikenakan tarif 24 peratus, Vietnam 46 peratus dan Korea Selatan 25 peratus. Kesatuan Eropah pula dikenakan levi 20 peratus.

Pasaran China dibuka dengan nada suram, apabila indeks saham mewah CSI300 turun 0.24 peratus, Indeks Komposit Shanghai susut 0.1 peratus, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 1.6 peratus.