Serangan anjing Rottweiler: Mangsa mahu tuntut keadilan di mahkamah

Iklan
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pemilik anjing Rottweiler yang mendakwa berlaku pergaduhan dengan anjing liar di luar pagar menyebabkan pagar rumahnya sedikit terbuka membolehkan haiwan itu terlepas. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pemilik anjing Rottweiler yang mendakwa berlaku pergaduhan dengan anjing liar di luar pagar menyebabkan pagar rumahnya sedikit terbuka membolehkan haiwan itu terlepas.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pemilik anjing Rottweiler yang mendakwa berlaku pergaduhan dengan anjing liar di luar pagar menyebabkan pagar rumahnya sedikit terbuka membolehkan haiwan itu terlepas.

BALING - [DIKEMAS KINI] Mangsa serangan anjing Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik haiwan terbabit.

Nur Na’im Baharuddin, 36, berkata, keluarganya bersepakat untuk meneruskan prosiding undang-undang ke atas pemilik Rottweiler berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ibu saya, Khadijah Abdullah, 66, merupakan mangsa pertama serangan yang mengalami kecederaan teruk, termasuk kulit kepala terkoyak, luka gigitan dalam pada anggota badan dan muka bengkak selepas terjatuh dalam cubaan melarikan diri.

"Kami sudah pun berunding dengan peguam dan akan meneruskan tindakan undang-undang sebaik sahaja dia pulih, selain menunggu laporan perubatan siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Nur Na’im berkata, ibunya yang masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, masih dalam keadaan trauma dan sukar untuk berbicara tentang serangan yang dialami.

Selain itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sepakat Taman Desa Bidara, Abdulazim Abdul Hamid, memaklumkan bahawa empat lagi mangsa turut difahamkan akan mengambil tindakan yang sama.

Iklan

Menurutnya, serangan pertama dipercayai berlaku terhadap Khadijah pada jam 4.50 pagi sebelum penuntut warga Mesir, Ahmed Abdel Tawwab Moustafa Khaled, 28, turut menjadi mangsa pada jam 6 pagi.

"Selepas itu, seorang penduduk yang sedang beriadah diserang sebelum pekerja kedai makan yang ingin membantu juga menjadi mangsa.

"Kita difahamkan bahawa selepas itu, seorang lagi penduduk wanita turut diserang anjing yang sama," katanya.

Sementara itu, pemilik anjing yang dikenali sebagai Chong Shen Chong, 69, telah membuat permohonan maaf kepada mangsa dan mengakui hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya melawat mangsa di hospital dan memohon maaf... Salah seorang daripada mereka telah memberitahu hasrat untuk meneruskan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau bagaimanapun berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis yang menjalankan siasatan.

Menceritakan kejadian, beliau mendakwa bahawa dua ekor anjing berusia empat tahun itu dipercayai meloloskan diri dari sangkar setelah diganggu oleh anjing liar dari luar pagar rumah kira-kira jam 2 pagi.

"Akibat kekecohan yang berlaku, dua ekor anjing Rottweiler terlepas dari kawasan halaman rumah apabila pagar sedikit terbuka semasa mereka bergaduh," dakwanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, bahawa siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan membabitkan dua ekor anjing Rottweiler yang mencederakan lima mangsa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai membenarkan haiwan berbahaya berkeliaran dengan bebas, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.