BATU PAHAT -"Rumah kakaklah menjadi titik pertemuan kami, namun tak sangka ini pertemuan terakhir kami dengan arwah."
Demikian kata Muslifah Mohamad, 40, adik kepada Halimatulsaadiah, 59, yang maut selepas kereta dipandu anak perempuan bertembung sebuah lagi kereta di Jalan Tanjung Laboh, berhampiran Kem Majidee, di sini, awal pagi Khamis.
Menurut Muslifah, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 1 pagi ketika mangsa bersama dua anak perempuan dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas berhari raya di rumah ahli keluarganya di Rengit.
Dua anak perempuan arwah masing-masing berusia 20 dan 29 tahun parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mengulas lanjut, Muslifah berkata, pada tengah hari semalam, arwah bersama tiga anak tiba dari Melaka untuk ke rumah kakaknya di Renggit yang menjadi tempat berkumpul setiap kali Aidilfitri.
"Selepas beraya, saya pulang ke Johor Bahru sekitar jam 6 petang manakala arwah mahu bertolak tengah malam. Saya ada nasihat supaya bergerak petang, tapi mereka bimbang jalan raya sesak.
"Saya tak pasti jam berapa mereka bergerak dan saya sempat menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp sekitar jam 10.30 malam," katanya.
Tambah Muslifah, keluarga hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi bapa saudara menerusi kenderaan yang digunakan mangsa ketika kemalangan.
"Arwah bersama anak-anaknya meminjam kereta bapa saudara sebelah ayah, jadi dari situlah polis dapat hubungi mereka," ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baru Pahat, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Abdul Ghafar Mahadi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Kelisa dan Proton Saga yang bertembung. Setibanya pasukan di lokasi, dua mangsa didapati tersepit dalam Perodua Kelisa, manakala seorang lagi mangsa dari Proton Saga telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.
"Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," ujarnya.