SUBANG JAYA – Sebanyak 200 haiwan peliharaan dilaporkan hilang susulan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights, di sini pada Selasa.
Pengerusi Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Kalai Vanan berkata, laporan itu diterima pihaknya sejak Selasa, namun setakat ini hanya 10 peratus daripada jumlah tersebut berjaya ditemui semula.
"Misi menyelamat yang bermula pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang itu memberi tumpuan kepada usaha mengeluarkan haiwan peliharaan yang terperangkap dalam kebakaran.
"Kami berjaya membawa keluar 27 ekor haiwan, termasuk 15 ekor kucing dan tiga ekor anjing," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, operasi tersebut memfokuskan haiwan peliharaan yang tidak sempat diselamatkan pemilik ketika hari kejadian.
"Namun, kami percaya masih banyak lagi haiwan seperti kucing dan anjing yang terperangkap dalam taman perumahan itu,” katanya.
Menurut Kalai, cabaran utama operasi adalah keadaan lokasi kebakaran yang mencabar dan berbahaya, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
"Kami mungkin tidak dapat mencari kesemuanya, tetapi akan memberi keutamaan kepada kes paling kritikal,” katanya.
Sementara itu, doktor veterinar, Izreen Edriana berkata, kebanyakan haiwan yang berjaya diselamatkan berada dalam keadaan trauma dan sukar diberikan rawatan segera.
"Setakat ini, kami merawat kira-kira 10 ekor kucing, namun ada yang mengalami trauma hingga sukar menerima rawatan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menempatkan haiwan itu dalam sangkar berasingan bagi menenangkan mereka sebelum rawatan lanjut diberikan.
"Kami menerima satu kes melibatkan anak kucing yang mengalami kecederaan teruk di bahagian telinga dan ekor akibat terbakar,” katanya.
Dalam kejadian pada Selasa, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar hingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan selain kecederaan beberapa penduduk berhampiran.
Sepasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.