Kebakaran saluran gas: PDRM umum perkembangan setiap hari bermula Jumaat

Iklan
Amirudin semasa sidang akhbar mengenai perkembangan berkaitan kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lau di Wisma Dewan Annexe Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto: Bernama Amirudin semasa sidang akhbar mengenai perkembangan berkaitan kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lau di Wisma Dewan Annexe Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto: Bernama
Amirudin semasa sidang akhbar mengenai perkembangan berkaitan kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lau di Wisma Dewan Annexe Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto: Bernama

SHAH ALAM – Siasatan punca kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar, yang akan mengumumkan perkembangannya setiap hari bermula pada Jumaat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan ini akan mengambil kira dua sudut pandang.

Iklan
Iklan

Pertama, dari segi sebarang unsur jenayah kecuaian ataupun semula jadi, dan siasatan ini akan dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kedua, dari segi siasatan teknikal di 'ground zero', pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di bawah Jabatan Kerja Raya akan memulakan carian teknikal di tapak kejadian.

Iklan

"Pada masa ini kita telah mengambil maklum semua klip video, laporan maklumat dan akan mula dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Selangor dalam taklimat beliau, iaitu dua hari sekali.

"Bermakna, setiap hari akan ada sidang media, satu membabitkan dasar, keputusan keseluruhan dan satu lagi yang membabitkan aspek siasatan, sama ada jenayah, kecuaian atau aspek teknikal yang akan dibentangkan oleh jabatan terlibat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Bangunan SUK Selangor di sini pada Khamis.

Selain itu, Amirudin berkata, keluarga daripada 85 buah rumah di Taman Harmoni akan dibenarkan pulang mulai malam ini setelah ditentusahkan keselamatannya oleh pembekal utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau turut memaklumkan, saluran utiliti dan air telah mula disambungkan bagi rumah-rumah ini yang telah disahkan selamat.

Begitupun, katanya, perumahan di Kampung Kuala Sungai Baru masih belum dapat diduduki akibat kerosakan yang agak teruk dan perlu melalui proses pembaikan.

"Selain itu, kerajaan negeri telah menerima tawaran bantuan kenderaan daripada syarikat seperti Chery, Carro, dan Carsome untuk disampaikan kepada penduduk, dan ini akan diselaraskan oleh Exco Pelaburan dan Mobiliti, Ng Sze Han," ujarnya.

Jelasnya, Yayasan Islam Darul Ehsan pula akan membantu pelajar-pelajar sekolah daripada keluarga yang terkesan, termasuk perjalanan pergi dan pulang ke sekolah.

Menjelang akhir minggu ini, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menentukan solusi yang lebih mampan dan selesa untuk menempatkan penduduk yang belum dapat kembali ke rumah masing-masing setelah mengkaji tawaran daripada Petronas.

"Sementara itu, pejabat saya turut dihubungi oleh syarikat seperti Airbnb yang mampu menawarkan solusi penempatan sementara tanpa caj kepada penduduk sebelum penempatan jangka masa panjang dapat ditentukan.

"Kesemua opsyen ini akan dipertimbangkan dan ditentukan dalam masa terdekat sementara memberikan ruang sepenuhnya untuk siasatan terperinci berjalan dengan telus," ujarnya.