SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan rebat 100 peratus secara one-off berdasarkan caj semasa bulan Mac bagi meringankan beban pelanggan yang terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights pada Selasa.
TNB dalam kenyataan berkata, rebat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bantuan Kebakaran TNB itu akan dikreditkan dalam bil elektrik bulan April.
"Selain itu, bantuan yang disediakan turut merangkumi pengecualian caj sambungan bagi permohonan semula bekalan elektrik untuk rumah yang mengalami gangguan bekalan akibat insiden berkenaan.
"Tiada surcaj lewat bayar bagi bil semasa turut dikenakan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Dalam pada itu, TNB telah membuka kaunter perkhidmatan berhampiran Bilik Gerakan Polis sejak Rabu bagi memudahkan pengguna yang terjejas mendapatkan bantuan berkaitan elektrik.
"Pegawai TNB akan menghubungi semua pelanggan yang terkesan untuk mengatur bentuk bantuan yang akan disalurkan.
"Pengguna juga boleh menghubungi Ketua Perhubungan Pelanggan TNB, Encik Thava, di talian 012-6060954 untuk sebarang maklumat lanjut,” jelas kenyataan itu.
TNB turut bekerjasama dengan pihak berkuasa serta kontraktor berdaftar bagi menjalankan pemeriksaan pendawaian untuk memastikan sistem elektrik di rumah yang terkesan berada dalam keadaan baik dan selamat.