MISI pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal sekali lagi tersentak apabila tonggak pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhães, akan terlepas baki musim ini selepas menjalani pembedahan pada hamstringnya.
"Gabi akan menjalani prosedur pembedahan hamstringnya dalam beberapa hari akan datang dan segera memulakan program pemulihan serta rehabilitasinya, dengan matlamat untuk bersedia pada permulaan musim depan,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.
Tonggak Brazil itu mengalami kecederaan ketika Arsenal menewaskan Fulham 2-1; pemain berusia 27 tahun itu berjalan keluar dalam keadaan terhinjut-hinjut dan digantikan serta-merta.
Arsenal kini kembali ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool dalam perlumbaan merebut gelaran dengan baki lapan perlawanan.
Selain itu, anak buah Mikel Arteta akan menjadi tuan rumah kepada Real Madrid dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara minggu depan.
Sebagai rekod, Gabriel menjadi tonggak pertahanan Arsenal bersama rakan gandingannya di bek tengah, William Saliba, membantu kelab London utara mengekalkan rekod pertahanan terbaik dalam liga utama, kebobolan 25 gol dalam 30 perlawanan.
Kedua-dua pemain pertahanan itu, bersama penjaga gol David Raya, bermain lebih banyak minit daripada mana-mana rakan sepasukan mereka dalam semua pertandingan musim ini.
Gabriel juga merupakan watak penting semasa situasi bola mati menyerang dan telah menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan.
Dia adalah pemain Arsenal ketiga yang mengalami kecederaan hamstring utama selepas rakan senegaranya, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka, yang juga memerlukan pembedahan dan terpaksa berehat selama tiga bulan.
Gunners sebelum ini sudah pun kehilangan pemain pertahanan Riccardo Calafiori, Ben White dan Takehiro Tomiyasu, manakala Jurrien Timber juga dikeluarkan dalam perlawanan Fulham dengan masalah lutut.
"Anda boleh bayangkan, kami kehilangan empat pemain pertahanan dalam satu minggu. Kami masih mempunyai empat lagi yang sangat bersedia untuk melakukan tugas mereka,” kata Arteta selepas perlawanan Fulham.
Kelab itu juga kehilangan penyerang Kai Havertz dan Gabriel Jesus akibat kecederaan yang menamatkan musim masing-masing awal tahun ini.