Telefon bimbit, tiada pemandu kedua kesalahan serius

Iklan
Muhammad Kifli (dua dari kiri) melihat pemandu bas bersedia untuk memulakan perjalanan.

KOTA BHARU - Penggunaan telefon bimbit dan ketiadaan pemandu kedua dikesan antara kesalahan serius yang dilakukan oleh syarikat dan pemandu bas ekspres hasil penyamaran anggota serta pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 50 kesalahan dicatat membabitkan penggunaan telefon, manakala 52 kes melibatkan pemanduan melebihi empat jam tanpa pemandu kedua.

Iklan
Iklan
Muhammad Kifli (berdiri, tiga dari kiri) bertemu pegawai AADK dan JPJ yang melakukan ujian saringan urin.

Beliau memberitahu bahawa sebanyak 198 notis saman telah dikeluarkan hasil daripada 245 penyamaran yang dilaksanakan oleh JPJ.

"Kita dapati ada pelanggaran etika sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan awam dengan melakukan kesalahan berkenaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemantauan sempena Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini pada Khamis.

Muhammad Kifli memberitahu bahawa JPJ turut melaksanakan pemeriksaan ke atas pengendalian bas di seluruh negara dalam usaha berterusan memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan bas awam, terutama pada musim perayaan.

Iklan

"Melalui pemantauan berkenaan, sebanyak 8,173 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara telah diperiksa bermula 24 Mac 2025," katanya.

Jelas beliau, berdasarkan strategi penguatkuasaan tersebut, JPJ telah mengeluarkan 467 notis saman termasuk kesalahan berkaitan lesen pemandu serta lesen kenderaan.

Dalam pada itu, tambah beliau, operasi yang mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut melaksanakan saringan ujian air kencing ke atas 947 pemandu bas.

"Dua daripada mereka didapati menyalahgunakan dadah dengan alasan bertahan dan memandu lebih lama.

"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan syarikat bas, pemilik serta pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang," katanya.

Penumpang bas boleh melaporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus atau real-time menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap aduan.