Anak terkejut bapa fasih lima bahasa termasuk Kantonis

Iklan
Muhamad Azhan yang terkejut rupanya ayahnya boleh berbahasa selain daripada bahasa Melayu.

SHAH ALAM -"Eh, sejak bila ayah pandai cakap Kantonis?" Itu reaksi spontan seorang pemuda selepas pertama kali mendengar ayahnya berbual fasih dalam dialek tersebut, meskipun sudah 27 tahun membesar hidup bersama tanpa mengetahuinya.

Perkara tersebut diceritakan semula oleh Muhamad Azhan Fikry Mohd Jafri, 27, yang berkata, dia menyedari kebolehan luar biasa ayahnya itu ketika mereka sekeluarga bercuti di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih mengejutkan, ayahnya, Mohd Jafri Yahaya, 59, boleh memahami lima bahasa lain iaitu Tamil, Jawa, Inggeris, Mandarin dan Kantonis.

"Masa itu Hari Raya kedua... saya dan keluarga ada melawat satu reruai (kios) yang ada jual cenderamata. Jadi, ibu pula berkenan dengan salah satu cenderamata itu.

Iklan

"Kemudian secara tak sengaja, saya antara sedar dengan tak sedar rupanya ayah berbahasa Kantonis dengan penjual itu. Saya perasan pun sebab adik saya minta rakam video.

"Tidak dinafikan ayah memang tahu cakap beberapa bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Jawa dan lancar berbahasa Inggeris tetapi kami adik-beradik terkejut dan hairan... tak sangka rupanya ayah tahu cakap bahasa lain selain Melayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan
Gambar raya keluarga Muhamad Azhan.

Tambah Muhamad Azhan yang berasal dari Rawang, lebih mengagumkan, ayahnya juga mempunyai sebutan yang jelas dan lancar seolah-olah seperti seorang penutur asli.

Menurutnya, kebolehan ayahnya itu adalah disebabkan persekitaran kerana membesar dalam komuniti berbilang kaum di Perak.

"Kata ayah, kebanyakan kawan-kawan rapatnya bercakap bahasa lain, jadi dia belajar untuk berkomunikasi dengan lebih mudah.

"Untuk makluman, keempat-empat adik-beradik saya memang terkejut dengan perkara itu, sebab ayah tak pernah cerita apa-apa pun kepada kami... kalau ibu pula dia tidak nampak terkejut, mungkin sudah tahu bila mula-mula nak mendirikan rumah tangga dulu,” katanya.

Jelasnya, ayahnya seorang yang pendiam menyukarkan mereka meneka kebolehan fasih berbahasa selain bahasa Melayu.

Kata Muhamad Azhan, kejadian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen selepas video tersebut dikongsikan di media sosial.

"Ramai yang berlawak mengatakan ayah seorang perisik atau anggota tentera sebab boleh cakap banyak bahasa. Ada yang cakap ‘thank you for your service sir’.

"Saya hanya mampu gelak dengan komen-komen itu dan anggap ia sebagai satu pujian atas kebolehan ayah,” ujarnya.

Muhamad Azhan berkata, pengalaman itu membuatkannya lebih berminat untuk mempelajari bahasa lain dan dia berharap rakyat Malaysia juga turut bersikap terbuka untuk mempelajari bahasa asing.

Menurutnya, dengan menguasai lebih banyak bahasa, seseorang itu dapat lebih memahami dan merapatkan hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum seiring dengan saranan kerajaan.