Berdiet jangan sampai tuan rumah kecil hati

Iklan
Sambutan Aidilfitri lebih bermakna dengan pemakanan sederhana, menjaga adab bertamu, dan mengelakkan pembaziran - Gambar hiasan

DALAM kemeriahan menyambut Aidilfitri, ada beberapa perkara perlu kita beri perhatian terutama berkaitan pemakanan, adab bertamu dan menjaga hati tuan rumah.

Setiap kali berkunjung ke rumah terbuka, kita pasti disajikan pelbagai juadah enak seperti rendang, lemang, ketupat, sate dan kuih-muih. Keunikan juadah raya ini menjadi simbol tradisi diwarisi turun-temurun.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kita juga perlu bersikap sederhana dalam menikmati makanan kerana kesihatan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan.

Pakar pemakanan sering kali mengingatkan agar kita mengawal pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Iklan

Lemang misalnya, kaya dengan karbohidrat dan santan yang tinggi lemak, manakala rendang walaupun enak, turut mempunyai kandungan lemak tepu yang boleh menyumbang kepada peningkatan kolesterol jika dimakan berlebihan. Kuih-muih raya pula kebanyakannya dibuat dengan tepung dan gula, jika diambil berlebihan mampu merosakkan diet kita kerana menyebabkan kenaikan berat badan dan masalah kesihatan lain.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, lebih separuh populasi dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, dengan peningkatan daripada 44.5 peratus pada tahun 2011 kepada 54.4 peratus pada tahun 2023.

Iklan

Kajian turut menunjukkan bahawa prevalens berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh 26 tahun.

Jelas peningkatan ini amat membimbangkan kerana obesiti dikaitkan dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.

Begitu pun, dalam usaha menjaga kesihatan, kita juga harus bijak dalam menjaga adab ketika berkunjung ke rumah terbuka. Ada segelintir dalam kalangan kita begitu berhati-hati dengan pemakanan hingga langsung tidak menyentuh juadah dihidangkan. Amalan ini walaupun baik untuk kesihatan tapi boleh menimbulkan rasa kecil hati pihak tuan rumah yang berusaha menyediakan hidangan terbaik untuk tetamu mereka.

Sebagai tetamu, kita perlu pandai menjaga perasaan tuan rumah. Jika benar-benar ingin mengawal pemakanan, ambillah dalam jumlah yang kecil sekadar untuk meraikan tuan rumah. Jika ada makanan yang tidak boleh dimakan atas sebab kesihatan atau alergi, cukup sekadar memberi alasan yang baik dan sopan. Tuan rumah akan lebih menghargai jika kita menghormati usaha mereka, dan bukan sekadar datang berkunjung tanpa mencuba langsung hidangan yang telah mereka sediakan.

Selain itu, kemeriahan juadah raya tidak seharusnya dirosakkan dengan sikap membazir. Ada segelintir kita terlalu teruja dengan makanan sehingga mengambil dalam jumlah yang banyak tetapi akhirnya tidak mampu menghabiskannya.

Ini bukan sahaja membazir tetapi juga tidak menghormati rezeki yang diberikan. Oleh itu, ambillah makanan secara sederhana dan berpada-pada.

Dalam menghadapi cuaca panas, kita juga perlu bijak dalam memilih makanan yang membantu mengekalkan hidrat. Selain air kosong, buah-buahan seperti tembikai, oren, dan anggur dapat membantu tubuh kekal segar. Sayur-sayuran seperti timun dan salad juga baik untuk menyejukkan badan.

Apa pun Aidilfitri adalah waktu untuk bergembira, tetapi kita perlu meraikannya dengan cara yang seimbang. Makan secara sederhana, menjaga kesihatan, menghormati tuan rumah dan mengelakkan pembaziran adalah antara sikap terbaik yang perlu diamalkan.

Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri tetapi juga dapat menjaga kesihatan dan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Perut kenyang hati pun senang.

* Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian