PELAKON kacukan Melayu-Jerman, Maya Karin, akan memastikan usahanya untuk menyelamatkan alam sekitar termasuk haiwan yang diancam kepupusan akan diteruskan sampai bila-bila.
Selepas berjaya menimbulkan kesedaran dalam masyarakat mengenai kebersihan sungai, selebriti berusia 41 tahun itu kini beralih kepada kempen menyelamatkan harimau malaya.
Menurut Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, kempen Selamatkan Harimau Malaya Kita telah bermula sejak Mac tahun lalu dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menjadi penaungnya.
"Saya sejujurnya cukup terkejut apabila usaha saya untuk menyelamatkan sungai dan memberi kesedaran tentang kebersihan sungai mendapat perhatian ramai.
"Malah menerusi cabaran Maya Karin (Maya Karin challenge) yang saya mulakan dari September 2018 masih mendapat sambutan sehingga kini.
"Bagaimanapun saya tidaklah mahu kekal pada satu kempen sahaja dan kini saya beralih kepada kempen Selamatkan Harimau Malaya Kita," katanya ketika ditemui pada pelancaran filem terbaharu lakonannya Bulan & Pria Terhebat di Damansara baru-baru ini.
Jelas Maya, jumlah harimau malaya yang tinggal kini tidak kurang daripada 200 ekor dan sudah tiba masanya masyarakat perlu sedar dan ambil tahu mengenai jumlah yang membimbangkan itu.
"Ada yang mungkin merasakan mengapa perlu bimbang kerana ada 200 ekor lagi harimau malaya di Malaysia, tetapi mereka perlu ingat, proses mengawan dan mendapatkan anak harimau bukan mudah.
"Sekiranya jumlah itu turun ke 120 ekor, kerajaan sudah boleh mengisytiharkan kepupusan harimau malaya.
"Jadi saya akan bersama-sama memikirkan apa lagi yang perlu dibuat bagi memberi kesedaran bersama terhadap masalah ini," ujarnya.
Sementara itu,berkongsi perkembangan lainnya, Zahirah berkata, empat lagi filem lakonannya termasuk dua bersama produksi Hollywood dijangka akan ditayangkan pada tahun ini.
Antara filem terbabit adalah Abang Long Fadil 3, Semangat Negara: Olympic Dream, Alone (filem dari Los Angeles) dan Kingdom (Hollywood).