CIAMIS - Seorang ibu yang melangsungkan majlis persandingan bersama tiga anak perempuan dan pasangan pengantin masing-masing menarik perhatian netizen.
Empat pasangan berkenaan, Eti dan Suparman, Tati Suryati dan Irfan Ahmad, Tita Sugiarti dan Imam serta Resi bersama Udi, lapor Kompas.
Eti ialah ibu kepada Tati, Tita dan Resi sekali gus 'mengetuai' majlis tersebut pada 25 Februari lalu.
"Idea untuk bersanding bersama mula difikirkan pada Januari lalu, sebulan sebelum majlis persandingan ini.
"Majlis pernikahan berbeza cuma kami satukan majlis persandingan supaya lebih meriah," kata Eti hari ini.
Katanya, pada awalnya anak-anak tidak bersetuju, namun kemudiannya akur apabila kesemua mereka sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Menurut anaknya Resi,"Masa itu fikir mungkin tidak seperti itu berlaku, namun bila difikirkan semula, Tati dan Tita sudah mempunyai teman lelaki.
"Ibu pula memiliki teman lelaki. Mereka sudah bersedia mahu berkahwin termasuk saya," katanya.
Kata Tati, mereka hanya berunding untuk menentukan lokasi dan masa majlis perkahwinan sahaja.
"Akhirnya ia menjadi bersama, cuma pernikahan berbeza," katanya.
Dalam pada itu, majlis mereka berlangsung di sebuah padang bola sepak di Kampung Andapraja, Daerah Rajadesa.
Perkahwinan empat pasangan dalam satu keluarga mula menjadi perhatian ramai di laman sosial kerana ramai penduduk yang berkongsi foto termasuk video perkahwinan mereka di Facebook.