SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan disaran melaksanakan empat langkah strategik bagi membanteras amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya di sektor penguatkuasaan termasuk memperkenalkan sistem pusingan kerja secara berkala.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pegawai terbabit daripada berada terlalu lama di satu lokasi sehingga terdedah kepada pengaruh luar seperti sindiket jenayah.
"Dengan memindahkan pegawai secara berkala, kuasa tidak tertumpu pada individu tertentu dalam jangka masa panjang.
"Apabila terlalu lama berada di satu tempat, pegawai boleh membina hubungan yang rapat dengan pihak luar yang berisiko mendedahkan mereka kepada amalan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa nilai rasuah yang diterima pegawai penguat kuasa di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok elektronik (vape) dianggarkan mencecah RM6,000 sehari.
Menurutnya, nilai rasuah itu bergantung kepada jenis lori yang membawa muatan dan kebanyakan kenderaan terbabit dikesan melakukan pelbagai kesalahan penyeludupan.
Mengulas lanjut, Badlishah berkata, kerajaan perlu mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan rasuah penguat kuasa kerana ia melibatkan aspek keselamatan negara dan rakyat.
"Langkah ini akan menjadi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan terhadap undang-undang negara.
"Ia juga akan membuatkan pegawai sempadan berfikir dua kali sebelum bersubahat dengan sindiket menyeludup barangan terlarang,” tegasnya.
Tambah beliau, pemantauan oleh SPRM juga perlu dipertingkat terutama terhadap pegawai di pintu masuk seperti FCZ KLIA.
"Kita perlu operasi berkala oleh SPRM seperti yang dilakukan sebelum ini bagi membongkar salah laku pegawai di sempadan, itu amat penting.
"Saya juga mencadangkan supaya calon pegawai penguat kuasa perlu menjalani ujian psikometrik terlebih dahulu sebelum dilantik,” katanya.
Menurut beliau, ujian psikometrik penting untuk menilai tahap integriti dan kesesuaian seseorang calon dalam melaksanakan tugas yang penuh cabaran dan berisiko tinggi.