Malah ramai percaya, pengarah filem itu, Leigh Whannell mampu tampil dengan sebuah naskhah yang hebat berdasarkan hasil kerja Blumhouse Productions yang terkenal dengan filem seram, thriller dan psiko.
Berbalik kepada The Invisible Man, filem yang dibintangi Elisabeth Moss, Oliver Jackson-Cohen, Aldis Hodge, Storm Reid dan Harriet Dyer itu secara asasnya mengisahkan Cecilia Kass (Moss) yang mengalami tekanan hidup akibat dikawal dan ditindas oleh suaminya, Adrian (Cohen).
Tekanan itu mendorong Cecilia melarikan diri dengan bantuan kakaknya Emily (Dyer) dan tinggal bersama rakan baiknya, James (Hodge).
Selepas dua minggu, Cecilia mendapat tahu Adrian telah membunuh diri dan meninggalkan sejumlah harta dengan beberapa syarat.
Namun tidak lama selepas itu, Cecilia mula dihantui gangguan misteri sehingga dia disangka gila dan ditahan atas jenayah yang tidak dilakukannya.
Perjalanan filem ini berbeza dengan naskhah halimunan yang pernah dihasilkan oleh produksi lain kerana kebanyakan mereka akan cuba memaparkan babak halimunan itu.
Namun berbeza dengan filem ini apabila watak halimunan itu dihasilkan dengan teknologi sains dan sukar untuk dilihat dengan mata kasar.
Jadi secara tidak langsung, Moss perlu berdiri sendiri untuk menterjemahkan kesengsaraan dan pergelutan dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat sehingga menyebabkan orang sekeliling menyangka dia gila.
Debaran dan kejutan akan mengiringi penonton dari awal penceritaan filem ini hingga ke penghujungnya, ditambah pula dengan lakonan mantap Moss.
Bagaimanapun di sebalik lakonan mantap dan cerita yang menarik itu, kelemahan utama filem ini ialah susunan jalan cerita yang akhirnya seolah-olah memberi persoalan yang tidak terjawab pada penghujungnya.
Malah apa yang dilakukan Adrian sehingga Cecilia mengalami tekanan yang dahsyat juga sukar untuk difahami. Jika diselitkan sedikit flashback atau background story mengenai kehidupan Cecilia atau perancangan Adrian, ia pasti akan menjadi sebuah cerita yang lebih menarik.
Apa pun The Invisible Man masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton, terutamanya bagi anda yang meminati genre psiko thriller.
INFO FILEM:
The Invisible Man
Bahasa: Inggeris
Pengarah: Leigh Whannell
Pelakon: Elisabeth Moss, Oliver Jackson-Cohen, Aldis Hodge, Storm Reid & Harriet Dyer.
Genre: Psiko Thriller
Durasi: 2 Jam 5 Minit
Klasifikasi: 18
tayangan: 5 Mac 2020
Bintang: 4/5