KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Wanita warga Belanda meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki ke Gua Luas, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa Pommelien Catharina Maria Meijs, 33, dipercayai tidak sedarkan diri selepas terjatuh beberapa kali di trek jalan kaki ke Gua Luas.
Menurutnya, rakan pendaki cuba membantu mangsa dengan melakukan bantuan pernafasan kecemasan namun gagal sebelum wanita itu meninggal dunia kira-kira jam 7 petang.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa bersama 16 pelancong lain dipandu arah dua pemandu pelancong dipercayai dalam perjalanan ke Gua Luas, Taman Negara Kuala Tahan kira-kira jam 11 pagi pada Khamis.
"Perjalanan ke lokasi mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki bot dan berjalan kaki.
"Kira-kira jam 3.40 petang, semasa melalui laluan jalan kaki, mangsa telah jatuh beberapa kali dan terus pengsan sehingga tidak dapat berjalan," katanya.
Zukri berkata, seorang pemandu pelancong telah berpatah balik untuk mendapatkan bantuan kerana lokasi kejadian tiada liputan talian komunikasi dan sukar dihubungi.
"Kira-kira jam 7.15 petang, mangsa disedari berhenti bernafas lalu pemandu pelancong dan pelancong yang lain cuba membantu dengan melakukan bantuan kecemasan menerusi Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) namun gagal.
"Kejadian dilaporkan kepada anggota polis Pondok Polis Kuala Tahan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Taman Negara Kuala Tahan jam 9 pagi pada Jumaat untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat diterima, operasi membawa turun mangsa digerakkan jam 11 pagi oleh pasukan penyelamat terdiri polis, bomba, Perhilitan, sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pemandu pelancong.
"Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi cuba membawa mangsa keluar tetapi gagal disebabkan mangsa terlalu berat dan keadaan laluan kaki bukit terlalu licin.
"Operasi terpaksa dihentikan sebelum Pusat Gerakan Operasi Pahang memohon pesawat dari Unit Udara Bomba untuk operasi mengeluarkan mayat dari lokasi tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, operasi diteruskan pada Sabtu apabila bantuan helikopter bomba tiba di lokasi dan mangsa berjaya dibawa keluar jam 10.50 pagi.
"Helikopter yang membawa mangsa mendarat di Padang FA Jerantut jam 11.30 pagi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Tahan dibantu anggota Perhilitan, APM, polis dan pemandu arah ke lokasi untuk operasi menurunkan mayat mangsa.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa tiga hingga empat jam untuk tiba di lokasi dengan menaiki bot dan berjalan kaki sebelum tiba jam 5.40 petang.
"Bagaimanapun pesawat dari unit udara bomba terpaksa digunakan untuk operasi mengeluarkan mayat dari lokasi tersebut," katanya.