Sebak lihat ibu bertongkat jemput di penjara

Iklan
Azman (bukan nama sebenar) memeluk ibunya yang datang menjemput di Penjara Penor dalam program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Aidilfitri baharu-baharu ini.

KUANTAN – Hati seorang banduan berusia 39 tahun tersentuh apabila melihat ibunya yang uzur, bertongkat hadir bersama adik perempuannya menjemputnya di Penjara Penor dalam program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Aidilfitri baharu-baharu ini.

Azman (bukan nama sebenar) mengakui perasaan sebak apabila melihat kasih sayang ibunya yang berusia 72 tahun, walaupun dia pernah melakukan kesilapan besar dan memalukan keluarga.

Iklan
Iklan

"Melihat mak berjalan dengan susah payah untuk mengambil saya, hati saya benar-benar tersentuh, kasih sayang mereka tidak pernah luntur walaupun saya telah buat salah.

"Bila mak memeluk saya sambil menangis dan berbisik, nak (anak) tolonglah jangan ulangi kesilapan yang telah kamu lakukan sebelum ini,' katanya dengan nada sebak.

Iklan

Azman berkata demikian ketika ditemui pada program PBSL sempena Aidilfitri bersama 34 rakan banduan yang dibebaskan selepas menjalani hukuman di Penjara Penor.

Raja Mohd Amazon bersama banduan yang dibebaskan pada program PBSL sempena Aidilfitri baharu-baharu ini.

Program PBSL tersebut dirasmikan oleh Pengarah Penjara Penor, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Raja Mohd Amazon Raja Daut di Wisma Sendayan, Penjara Penor.

Iklan

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, momen tersebut menjadi detik yang paling bermakna dalam hidupnya dan menyedarkannya bahawa peluang kedua masih ada.

Justeru, dia nekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dan berhasrat membina kehidupan baru bersama keluarga.

"Saya tidak akan ulangi kesilapan lalu yang memalukan keluarga kami," ujarnya.

Mengenang kembali pengalaman hitamnya, Azman berkongsi, sembilan bulan yang dihabiskan di Penjara Penor selepas ditangkap atas kesalahan dadah memberi pengajaran yang amat mendalam.

Katanya, semua itu bermula apabila terpengaruh dengan rakan-rakan, sehingga dia terjerumus dalam dunia dadah.

"Saya jadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat untuk melepaskan gian secara berkumpulan, dan akibatnya projek ternakan kambing, ikan kolam serta ladang sawit milik keluarga terabai," katanya lagi.

Azman turut mengakui perbuatannya itu memalukan keluarga yang menetap di Felda Labis, Segamat.

Namun, dengan peluang kedua yang diberikan, Azman berjanji akan menebus segala kesilapannya.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Azman berkata dia akan kembali meneruskan projek ternakan kambing, kolam ikan dan menguruskan ladang sawit milik keluarganya.

Sementara itu, Raja Mohd Amazon berkata seramai 11 keluarga hadir menjemput banduan yang dibebaskan dalam program kali ini.

"Saya berharap keluarga dan masyarakat dapat menerima bekas banduan seadanya, agar mereka tidak kembali melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.