JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) melaksanakan pemeriksaan mengejut di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini bagi memastikan penjualan petrol RON95 tidak disalahgunakan oleh kenderaan pendaftaran asing.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang bersama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han serta pegawai penguat kuasa KPDN Johor menjalankan pemeriksaan tersebut.
Onn Hafiz berkata, pemeriksaan tertumpu kepada pematuhan larangan penjualan RON95 kepada warga asing serta penetapan harga jualan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter.
"Selain itu, pengisian diesel bagi kenderaan asing dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan yang dihadkan kepada 20 liter turut dipantau.
"Kerajaan Johor, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited memastikan subsidi bahan api ini hanya dinikmati oleh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia. Sebarang pelanggaran peraturan tidak akan dikompromi,” kata dalam muat naik di Facebooknya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati melanggar peraturan termasuk menjual RON95 kepada kenderaan asing atau mengenakan harga melebihi kadar ditetapkan.
Orang ramai turut diseru agar turut membantu memantau penyelewengan subsidi dengan menyalurkan maklumat atau aduan melalui portal e-Aduan KPDN.
"Usaha ini akan diteruskan secara konsisten bagi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak," katanya.