Motosikal paling banyak langgar peraturan jalan raya - JPJ Terengganu

Iklan
Mohd Zamri menyerahkan buah tangan kepada pengguna jalan raya sempena Ops Khas HRA 2025 di Plaza Tol Gemuruh, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 799 buah motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang dijalankan setakat ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, jumlah itu merupakan antara tertinggi direkodkan berbanding kenderaan lain iaitu kereta (424) dan kenderaan persendirian lain (97).

Iklan
Iklan

"Sejak operasi bermula 24 Mac lalu, sebanyak 15,995 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan 1,518 daripadanya dikenakan tindakan.

"Kita juga mengeluarkan 3,337 notis saman, dengan saman P(22) iaitu berkaitan tiada lesen memandu sah paling banyak dikeluarkan iaitu 1,987 notis,” katanya pada sidang akhbar Ops Khas HRA Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Gemuruh, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, antara kesalahan tertinggi yang dikesan ialah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 508 kes, diikuti tiada perlindungan insurans (442), tiada lesen memandu kompeten (CDL) (418), lain-lain kesalahan (244) dan cermin gelap (170).

Beliau berkata, operasi berkenaan bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan selain mengurangkan kadar kemalangan.

Iklan

"Sehingga kini, kita merekodkan 619 kes kemalangan dengan empat kematian.

"JPJ menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta memiliki dokumen sah,” katanya.

Mohd Zamri turut menegaskan kepentingan memiliki lesen memandu dan perlindungan insurans yang sah.

"JPJ akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.