KOTA KINABALU - Insiden kebakaran dan kebocoran gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini menjadi satu peringatan penting buat Sabah memandangkan negeri ini turut menggunakan sistem penyaluran gas.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kejadian itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan besar terhadap harta benda, tetapi harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
"Insiden ini adalah satu peringatan, walaupun menyedihkan kerana melibatkan kemusnahan harta benda yang besar. Saya fikir ia wajar menjadi iktibar kepada kita semua, khususnya di kawasan yang menggunakan sistem penyaluran gas ke rumah-rumah dan sebagainya.
"Semua pihak yang terbabit dalam industri penyaluran gas, terutamanya untuk kegunaan domestik, perlu menilai semula tahap keselamatan sistem ini supaya kejadian seperti di Putra Heights tidak berulang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas risiko insiden serupa berlaku di Sabah, memandangkan penggunaan gas semakin meluas di negeri ini.
Masidi turut mengakui bahawa gas memainkan peranan penting dalam sektor perindustrian Sabah, justeru aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
"Dalam usaha membangunkan industri pembuatan di Sabah, penggunaan gas pastinya akan meningkat. Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Putra Heights dalam memperbaiki aspek keselamatan sistem penyaluran gas.
"Ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila penyaluran gas melibatkan kawasan berpenduduk padat," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan politik semasa, Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, mesyuarat rasmi mengenai pengagihan kerusi sesama rakan komponen GRS belum diadakan setakat ini.
"Perbincangan secara tidak rasmi memang berlaku dari semasa ke semasa, tetapi mesyuarat formal belum lagi diadakan. Kita tidak berasa tergesa-gesa untuk membincangkan isu pengagihan kerusi buat masa ini.
"Saya yakin semua rakan komponen dalam GRS mempunyai kesepakatan yang telah kita bina selama ini dan ini akan memudahkan rundingan apabila tiba waktunya," katanya.
Ditanya sama ada sudah ada tarikh bagi mesyuarat seterusnya, beliau menjelaskan bahawa belum ada ketetapan rasmi kerana tarikh pilihan raya juga belum diumumkan.