SHAH ALAM - Seorang bekas kakitangan di Menara Kuala Lumpur (Menara KL) menafikan dakwaan wujud unsur penganiayaan terhadap pekerja dalam isu pengambilalihan konsesi bangunan kerajaan itu.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok bernama Indera Bakti Ariffin berkata, bekas kakitangan menerima notis penamatan tugas pada Disember lepas mengikut format Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Katanya, notis berkenaan memberi penjelasan bahawa Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) tidak lagi diberikan konsesi oleh kerajaan.
"Kami terima dengan besar hati dan kami tahu itu bangunan kerajaan dan SH Service Master Sdn Bhd (anak LSH Capital) kemudiannya memberikan tawaran baharu.
"Saya orang pertama menerima surat tawaran tersebut, borang tersebut untuk diisi. Saya lengkapkan dan saya serahkan, namun ada sedikit masalah dari segi data peribadi, sekali gus tidak dibenarkan mengambil data terbabit dari syarikat lama," katanya.
Indera Bakti berkata demikian bagi menjelaskan susulan timbul dakwaan bahawa pekerja Menara KL dianiaya susulan pengambilan konsesi Menara KL.
Baru-baru ini, media melaporkan Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.
Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
Indera Bakti turut berharap isu syarikat bumiputera tidak dikaitkan dalam soal pengambilalihan konsesi sehingga mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai.
"Walaupun mereka India, Cina atau Melayu, mereka tetap rakyat Malaysia dan bayar cukai. Mereka juga bayar gaji, saya minta hentikan semuanya," katanya.
Dalam video berdurasi 1 minit 46 saat itu, dia mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menghubungi dirinya bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.