Kebakaran Putra Heights: Tiada bantuan dua darjat kepada penduduk terjejas

Iklan
Amirudin mengadakan sidang media pada Sabtu di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Foto Bernama

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan kononnya terdapat pemberian bantuan dua darjat kepada penduduk yang terkesan susulan insiden kebocoran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Beliau menegaskan, bantuan yang diberikan oleh kerajaan berdasarkan kepada tahap kerosakan harta benda yang dialami oleh penduduk dan tidak ada kategori 'dua darjat' seperti yang didakwa.

Iklan
Iklan

Amirudin menjelaskan, penduduk yang mengalami kerosakan keseluruhan akan menerima bantuan sebanyak RM5,000, manakala bagi mereka yang mengalami kerosakan sebahagian pula bantuan sebanyak RM2,500 akan diberikan.

"Tiada satu atau dua darjat dalam pemberian bantuan ini kerana semua bantuan diberikan berdasarkan tahap kerosakan dialami oleh setiap individu.

Iklan

"Bagi mereka yang mengalami kerosakan total, mereka akan menerima RM5,000, manakala yang sebahagian akan mendapat RM2,500.

"Ini sangat jelas dan tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana pihak," katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Sabtu.

Iklan

Amirudin memberitahu, terdapat satu kategori baharu turut diperkenalkan iaitu dengan membantu penyewa rumah terlibat.

"Mereka yang menyewa juga akan menerima bantuan, tetapi proses pengesahan sedang dilakukan untuk memastikan ketepatan penerima bantuan.

"Ini termasuk memeriksa data dengan pemilik tanah dan memastikan bahawa alamat yang diberikan adalah sah, selain proses ini mungkin mengambil sedikit masa kerana terdapat kes-kes penyewa tidak menukar alamat mereka," katanya.

Amirudin menggesa semua pihak bersabar dengan proses pengesahan itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

"Saya harap semua bersabar kerana kami cuba untuk melaksanakan amanah dalam mengagihkan bantuan.

"Bagi pihak yang ingin memberikan sumbangan peribadi, itu di luar kawalan kami. Namun, bantuan yang diberikan oleh kerajaan akan disalurkan melalui saluran lebih teratur," tambah beliau.

Amirudin menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim juga telah mengarahkan pengagihan bantuan diselaraskan melalui pejabat kerajaan negeri dan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Petronas.

"Pengagihan bantuan akan disalurkan melalui pengerusi bencana daerah bersama dengan JKM yang menyimpan data dan senarai mangsa.

"Kami juga akan memastikan bahawa agihan bantuan ini lebih mudah dan efektif termasuk kemungkinan pengagihan dalam bentuk tunai jika keperluan masyarakat memerlukannya," tambah beliau.