Kebakaran Putra Heights: Sedia lima kenderaan hantar pelajar ke sekolah

Iklan
Penduduk yang juga mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki kenderaan polis untuk masuk ke kediaman masing-masing bagi mengambil barangan keperluan serta dokumen penting. Foto Bernama Penduduk yang juga mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki kenderaan polis untuk masuk ke kediaman masing-masing bagi mengambil barangan keperluan serta dokumen penting. Foto Bernama
Penduduk yang juga mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki kenderaan polis untuk masuk ke kediaman masing-masing bagi mengambil barangan keperluan serta dokumen penting. Foto Bernama

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak lima kenderaan akan disediakan bagi menghantar pelajar dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke sekolah masing-masing bermula Isnin ini susulan insiden letupan gas yang berlaku di Putra Heights Subang Jaya.

Menurut Amirudin, sebanyak 34 sekolah terlibat dalam pengaturan pengangkutan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, lebih banyak kenderaan akan disediakan jika diperlukan bagi memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dengan lancar.

"Kita bersedia untuk menyediakan kemudahan tambahan jika keperluan meningkat," katanya semasa sidang akhbar di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau menjelaskan, rujukan mengenai pengangkutan itu boleh dibuat melalui ketua PPS yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing untuk memastikan koordinasi lebih baik dan pengurusan lebih efisien.

"Kerajaan negeri akan terus memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka yang terlibat," ujar beliau.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, penduduk di 130 daripada 235 unit rumah yang terlibat dalam insiden itu telah dibenarkan untuk pulang semula dan kebanyakannya di kawasan Taman Putra Harmoni.

Bagaimanapun, katanya, penduduk di Kampung Sungai Baru masih belum dibenarkan pulang atas faktor keselamatan, berdasarkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi teknikal yang terlibat.

"Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami dan kita tidak akan mengambil risiko.

"Berdasarkan laporan yang diterima, kawasan di Kampung Sungai Baru masih belum selamat untuk didiami.

"Ini berikutan kejadian di mana seorang mangsa dilaporkan jatuh sakit selepas pulang ke kawasan yang masih tidak selamat," tambahnya.