MB Pahang kesal tindakan segelintir pengguna di LTU

Iklan
Wan Rosdy menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jelai pada Sabtu.

LIPIS - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluahkan rasa kecewa selepas kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjadi mangsa vandalisme segelintir pengguna, termasuk kes pembuangan sampah di bahu jalan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah berusaha menyediakan kemudahan tersebut bagi keselesaan pengguna sempena musim perayaan, namun segelintir individu tidak bertanggungjawab menyebabkan kerosakan pada kemudahan awam itu.

Iklan
Iklan

"Itulah, saya pun berasa dukacita juga kerana kita menyediakan kemudahan ini, tetapi masih ada segelintir yang bertabiat sebegini. Kita perlu mendidik mereka untuk meningkatkan kesedaran sivik kerana ini adalah harta kerajaan.

"Kerosakan ini juga akan menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja untuk baik pulih dan juga menggunakan duit kerajaan yang maknanya duit rakyat juga. Jadi kalau kita boleh elak ataupun kita boleh minimumkan serta gunakan secara berhemah," katanya.

Iklan
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Laman Sejahtera Jelai di sini pada Sabtu, yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kerosakan di R&R Pintasan Bentong sementara, termasuk pintu tandas tercabut, menjadikan kemudahan tersebut tidak dapat digunakan.

Sebanyak dua R&R sementara dibina di Bentong melibatkan kedua-dua arah laluan, manakala masing-masing satu di Lipis dan Raub, yang siap menjelang Aidilfitri membabitkan kos RM2.5 juta.

Iklan

Wan Rosdy berkata, kajian untuk penambahan R&R sementara masih dijalankan dan lokasi yang sesuai akan terus diteliti.

Ditanya status R&R kekal di LTU, Wan Rosdy berkata, pembinaan kemudahan itu dalam perancangan kerajaan Pusat tetapi belum mendapat keputusan tarikh pelaksanaannya.

"Jadi saya harap semua pengguna dapat bersabar dengan kesesakan lalu lintas kerana saya jangkakan kita akan menghadapi kesesakan sekali lagi pada musim perayaan," tambahnya.

Jelasnya, pengguna akan memiliki pilihan selepas ini apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap pada akhir tahun depan dan akan beroperasi sepenuhnya pada 2027.

"Jadi pengguna ada pilihan. Saya tidak mengatakan masalah kesesakan lalu lintas ini diselesaikan 100 peratus tetapi dapat meminimumkan masalah tersebut," katanya.