SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerja-kerja pengalihan aliran air di Taman Putra Harmoni susulan insiden kebocoran gas di Putra Heights, Subang Jaya akan dimulakan pada 6 April ini.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan kawasan yang terlibat dalam insiden letupan terus bertakung air, sekali gus menyulitkan siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, pengalihan aliran air penting untuk memastikan kawasan tersebut tidak terus menghadapi masalah banjir atau takungan air yang boleh membahayakan keselamatan penduduk serta menyekat proses penyiasatan daripada pihak berwajib.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih efektif dan tidak terganggu," katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan, langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kelancaran proses pemulihan di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan Selangor juga kini dalam proses menyediakan 178 unit rumah sementara untuk mangsa insiden letupan terbabit bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk yang terjejas.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 100 unit rumah akan disediakan melalui skim Smart Sewa Selangor.
"Baki 78 unit rumah sementara akan disediakan yang menawarkan dua bulan sewaan percuma bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal," katanya.
Amirudin menjelaskan bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan mangsa yang terjejas meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan selamat.
"Kita berharap mereka tidak terbeban dengan masalah perumahan sementara mereka menunggu proses pemulihan dan penyelesaian lebih lanjut," kata beliau.