Serangan terhadap Tian Chua cermin budaya gengster PKR: Azmin

Iklan
Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan serangan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua semata-mata kerana perbezaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti itu telah diseludupi budaya gengsterisme dan keganasan.

Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, semua pihak seharusnya menolak budaya gengsterisme dan keganasan dalam politik, sebaliknya perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional serta berunding untuk menyelesaikan masalah.

Iklan
Iklan

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan terhadap Tian Chua di hadapan Ibu Pejabat PKR hari ini...beliau merupakan seorang aktivis sosial yang dihormati dan pengasas Keadilan yang berjasa dalam perjuangan parti itu sejak ia ditubuhkan.

"Gejala (gengsterisme) ini menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat telah 'dihijack' oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Mohamed Azmin berkata, pimpinan tertinggi PKR kelihatan alpa terhadap budaya samseng itu dan menyimpang jauh daripada reformasi membela rakyat, sedangkan sebuah parti politik yang berlandaskan perjuangan keadilan dan demokrasi seharusnya menggunakan wacana rasional dan perdebatan yang berasaskan kepada fakta.

"Apabila sesebuah parti itu telah dirasuk oleh unsur gengsterisme dan pimpinan membiarkannya terus berleluasa, ini bermakna parti itu berada di ambang kehancuran," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Mesyuarat PKR kecoh, Tian Chua ditampar penyokong parti

Iklan