Agihan RM30 juta wang ihsan kepada pesawah selesai pertengahan April - Mat Sabu

Iklan
KPKM sahkan proses pengagihan sumbangan wang ihsan kepada lebih 200,000 pesawah di seluruh negara telah bermula. Gambar kecil: Mohamad

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan proses pengagihan sumbangan wang ihsan berjumlah RM30 juta kepada lebih 200,000 pesawah di seluruh negara telah bermula dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumbangan tersebut adalah inisiatif syarikat swasta Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan bukan dana awam.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, sumbangan itu merupakan peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk sepenuhnya kepada tadbir urus kewangan korporat Bernas.

"Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian kewangan dalaman serta kelulusan pengurusan tertinggi syarikat.

Iklan

"Penyaluran hanya boleh dilakukan setelah semua keperluan ini dipenuhi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamad berkata, proses pematuhan rapi itu mengambil sedikit masa, namun kementerian kini telah menerima sepenuhnya dana berkenaan daripada Bernas pada 28 Mac lalu.

Iklan

"Sehubungan itu, kementerian telah memulakan agihan kepada pesawah yang layak di seluruh negara.

"Kami menjangkakan proses ini akan selesai menjelang pertengahan April,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Madani komited mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya pesawah yang menjadi tulang belakang sekuriti makanan negara.

"Pendekatan kita adalah menggalakkan sokongan korporat kepada rakyat, bukan kepada parti politik seperti yang berlaku sebelum ini.

"Kita percaya, sumbangan syarikat swasta wajar disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan,” tegas beliau.

KPKM turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama para pesawah sepanjang proses pelaksanaan bantuan ini.

"Kami faham kegusaran mereka dan kementerian akan terus komited memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak," katanya.

Sumbangan wang ihsan RM30 juta kepada pesawah seluruh negara diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu.