PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui mahu membawa masuk barisan pemain ternama pada jendela perpindahan musim panas.
Biarpun pengurusan United menegaskan kelab perlu memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda, namun Amorim mendesak supaya pemain berpengalaman dan terbukti keupayaan ditandatangani untuk saingan musim depan.
"Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada kekuatan kita dan menggunakan kelab ini untuk membawa masuk satu atau dua pemain bertaraf bintang.
"Kita sedang melakukan segala usaha untuk menjadi lebih baik pada musim depan, adalah amat penting kita perlu menjadi jauh lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Amorim turut mengakui berada di bawah tekanan selepas permulaan yang kurang memberangsangkan bersama United di Old Trafford.
"Saya mendengar ramai orang berkata bahawa Sir Alex Ferguson mengambil masa tiga atau empat tahun untuk memenangi sesuatu bersama kelab ini.
"Tetapi ia tidak mungkin pada era sekarang kerana tekanannya amat jauh berbeza,” katanya.
Sebagai rekod, Manchester United akan melayan kunjungan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford pada Ahad.