Pemandu kenderaan merah didakwa langgar ibu hamil tampil beri keterangan

Iklan
Tular satu hantaran di media sosial mengatakan terdapat unsur langgar lari dalam nahas terbabit.

IPOH - Pemandu kenderaan berwarna merah yang tular selepas didakwa terkait insiden langgar lari dalam nahas tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu telah tampil memberi keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, keterangan dibuat semasa individu terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Keterangan telah dirakam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menilai keterlibatan kenderaan terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan setakat ini masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Katanya, dalam kes itu, siasatan mengambil kira pelbagai sudut termasuk laporan forensik dan keterangan saksi-saksi.

"Rakaman kamera papan pemuka juga sedang dianalisa untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya.

Iklan

Sementara itu, Abang Zainal Abidin berkata, polis dimaklumkan keadaan suami mangsa masih mengalami trauma kesan kejadian tersebut.

Abang Zainal Abidin.

Katanya, mangsa yang memandu kenderaan Perodua Bezza ketika kejadian turut menghadapi kesukaran untuk memberi keterangan kerana terdapat 15 jahitan dalam mulut.

"Berkaitan kehilangan barang kemas milik mangsa, satu laporan polis telah dibuat ahli keluarga pada Jumaat sekitar jam 10.42 malam.

"Laporan tersebut telah diterima dan kes berkenaan kini dalam siasatan," katanya.

Beliau meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman ketika kejadian, boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-372 8477.

"Beri ruang kepada siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya yang sedang hamil meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini.

Mangsa, Naira Falisha Abdul Rahman yang parah maut di lokasi kejadian manakala ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi pada Isnin ketika mendapat rawatan di HRPB.

Kandungan Nur Fatihah yang berusia lapan bulan turut gagal diselamatkan.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, bapa mangsa Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial mengatakan terdapat unsur langgar lari dalam nahas terbabit membabitkan beberapa kenderaan selain mendakwa berlaku kehilangan barang peribadi milik mangsa termasuk wang tunai, dompet dan barangan kemas.

Polis seterusnya sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai telah terlanggar seorang ibu hamil di Kilometer 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Ahad lepas, bagi membantu siasatan.