Liga Super: Selangor sambar tiga mata penghujung aksi, Terengganu gigit jari

Iklan
Fortes dan Faisal meraikan jaringan semasa aksi Liga Super, Selangor menentang Terengganu di Petaling Jaya pada Sabtu. Foto Selangor FC

REMBATAN lewat permainan Alvin Fortes memastikan Selangor FC meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Sabtu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menambah tiga mata berharga, sekali gus mengukuhkan kedudukan The Red Giants di tangga kedua liga dengan 49 mata selepas 23 perlawanan, di belakang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Iklan
Iklan

Sementara itu, kekalahan keenam musim ini buat skuad Sang Penyu di bawah bimbingan Badrul Afzan Razali menyaksikan mereka kekal di tangga kelima liga dengan 32 mata selepas 22 perlawanan.

Selangor turun dengan misi meraih kemenangan dalam dua baki aksi terakhir, namun usaha mereka dipatahkan oleh pertahanan kental Terengganu serta kecemerlangan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Iklan

Terengganu pula hampir mendahului pada babak pertama menerusi percubaan Safawi Rasid, namun bola sekadar menggegar tiang gol pasukan tuan rumah yang tewas dalam perlawanan terakhir sebelum ini.

Pada separuh masa kedua, Terengganu terus meningkatkan tekanan dengan gerakan menarik dijanakan Manuel Ott, namun ketumpulan barisan serangan mereka menjadi penghalang utama untuk mencipta jaringan.

Iklan

Ketika perlawanan hampir berakhir dengan keputusan seri, Alvin Fortes muncul wira Selangor apabila bijak menyempurnakan hantaran kapten Faisal Halim untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88, sekaligus memastikan tiga mata buat pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Penang FC membawa pulang tiga mata selepas menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-0 hasil jaringan Rahmat Makasuf minit ke-13 dan Rafael Vitor minit ke-87 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.