'Terima kasih maklum balas menteri, pesawah tanya bimbang janji tak ditepati'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Ashraf Mustaqim) Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Ashraf Mustaqim)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Ashraf Mustaqim)

ALOR SETAR – Gerakan Membela Penindasan Petani (Gempita) yang diasaskan bagi membela nasib golongan pesawah tampil menyuarakan keluhan mereka mengenai bantuan yang masih belum diterima, meskipun janji telah dibuat sebelum ini.

Pengasasnya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menyatakan rasa syukur apabila isu tersebut mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penjelasan menteri berhubung status penyaluran sumbangan wang ihsan sebanyak RM30 juta kepada para pesawah, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu melegakan para pesawah.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri atas maklum balas berkenaan.

Iklan

"Namun, kami tetap bertanya kerana pesawah-pesawah di kawasan saya mengadu dan berharap agar bantuan yang dijanjikan dapat segera direalisasikan,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamad bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memulakan proses pengagihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

Iklan

Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April ini.

Menurut Mohd Ashraf dalam kenyataan pada Jumaat, bantuan RM30 juta yang dijanjikan termasuk RM15 juta untuk Bantuan Ramadan dan Aidilfitri, masih belum diterima oleh golongan pesawah di Kedah.

"Kita bercakap bagi pihak mereka yang memerlukan. Pak tani ini orangnya sabar dan reda, tapi bila janji tak ditepati, mereka cuma boleh merintih kepada kami yang dekat dengan mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat janji supaya tidak memberi harapan palsu kepada golongan pesawah, yang kebanyakannya berusia emas.

Sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoritinya terdiri daripada pesawah, Mohd Ashraf menegaskan bahawa perjuangannya adalah untuk rakyat, tanpa mengira parti politik.

"Saya hanya mahu memastikan kebajikan pesawah terbela. Tidak kira siapa atau apa parti anda, ini adalah tanggungjawab kita bersama,” tegasnya lagi, sambil menambah bahawa platform Gempita adalah inisiatif non-partisan untuk menyuarakan isu-isu golongan petani.

Mohd Ashraf turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani atas usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan keberadaan pesawah.

Namun, beliau berharap agar agihan bantuan dapat dibuat segera dan dilaksanakan dengan cekap.

"Saya faham, rakyat bukannya tak mahu menunggu, tapi biarlah segala maklumat disampaikan dengan telus supaya mereka dapat memahami situasi sebenar,” katanya lagi.