SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) disaran merehatkan kakitangan terlibat meluluskan pelan pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya di sini.
Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan terhadap pelan yang telah dilaksana dan kesahihan pelaksanaannya di lapangan.
Beliau berkata, sejak dari awal, projek pembangunan yang dijalankan terbabit dikhuatiri telah bermasalah dan timbul pelbagai isu termasuklah gagal disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
"Projek terbabit sepatutnya siap pada Disember tahun lalu. Bagaimanapun sehingga Mac lepas, ia masih tidak siap dengan kelewatan dari jadual selama tiga bulan.
"Antara persoalan lain, saya tertanya-tanya sama ada berlaku pelanggaran syarat Kebenaran Merancang (KM) ataupun memang ada kelulusan dalam KM untuk kerja-kerja atas zon penampan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Rabu, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim memaklumkan projek pembangunan berhampiran lokasi kejadian mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, projek berkenaan bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan diberikan kelulusan serta KM pada 2022.
Dalam pada itu, Mohd Zaffarollah berkata, berdasarkan lot pemaju didapati telah menggunakan zon penampan untuk kerja-kerja membuat tempat letak kenderaan, sekali gus beliau mempersoalkan sama ada perkara ini ada dalam kelulusan KM.
Beliau turut mencadangkan pihak berkenaan melantik juruukur untuk membuat semakan sama ada pelan yang diluluskan melanggar zon penampan ataupun tidak.
"Datuk Bandar MBSJ seharusnya mendedahkan maklumat sebenar pelan dan permohonan pemaju secara telus kepada umum," kata Mohd Zaffarollah lagi.