SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menyerahkan 60 kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) kepada Pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 bagi menjayakan misi pengaman di bawah naungan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL - PBB) di Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, kenderaan HMLTV tersebut akan mula dibekalkan kepada pasukan MALBATT mulai pertengahan tahun depan.
Mohd Nizam berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan pasukan MALBATT sentiasa bersiap sedia menghadapi penugasan yang semakin mencabar dan kompleks di Lubnan.
"Langkah ini adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan mobiliti pasukan MALBATT, sekali gus membantu mereka dalam menjayakan misi melindungi orang awam dan diri sendiri daripada sebarang ancaman musuh pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Nizam berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dua kem penting di bawah kawal selia MALBATT di UNP 6-40 Kem Harris dan UNP 6-43 Kem Tibnine di Lubnan, sempena sambutan Hari Raya Adilfitri baru-baru ini.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin; Asisten Ketua Staf Operasi Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Mejar Jeneral Tong Veng Leong.
Tambah beliau, situasi di Lubnan kini semakin sukar dijangka dan berubah-ubah memerlukan pasukan pengaman Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran mendatang.
Berikutan itu, Mohd Nizam melahirkan keyakinannya terhadap anggota MALBATT bagi meneruskan misi pengaman di bawah payung UNIFIL di bumi Lubnan.
"Dengan kelengkapan yang canggih dan anggota berkualiti, kita yakin dapat menjalankan tugas dengan cemerlang dan secara tidak langsung dapat meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain dalam menjalankan misi sama di Lubnan," katanya.
Menurut Mohd Nizam, peranan UNIFIL sebagai badan pengaman adalah penting dalam menjaga keselamatan orang awam, sekaligus menghalang serangan berterusan dari pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya berharap kekuatan mental anggota dan pemahaman yang kukuh tentang misi ini akan memberi mereka kelebihan untuk melaksanakan tugas yang amat sukar ini dengan penuh dedikasi," ujarnya lagi.
Terdahulu, Mohd Nizam berkata, lawatan pertamanya ke kem MALBATT bukan sekadar kujungan biasa, tetapi ibarat 'sirih pulang ke gagang'.
Jelasnya, ini kerana beliau pernah bertugas di Lubnan suatu ketika dulu.
Berikutan itu, Mohd Nizam berharap lawatannya berkenaan secara tidak langsung dapat mengubat sedikit sebanyak kerinduan anggota MALBATT kepada keluarga dan rakan terdekat di tanah air sempena sambutan Aidifitri kali ini.