PENYERANG skuad hoki remaja wanita negara, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha, percaya Young Tigress mampu memberikan saingan sengit pada Piala Dunia Remaja 2025 hujung tahun ini.
Malah, menurut tonggak berusia 20 tahun itu, pasukan negara berupaya menyerlah sekiranya elemen seperti intensiti permainan, ketahanan fizikal dan kekuatan mental diperkukuh menjelang temasya berkenaan.
Iklan
Iklan
"Kami sedar pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan terkenal dengan permainan berintensiti tinggi serta keupayaan fizikal yang luar biasa.
"Oleh itu, fokus utama kami semestinya meningkatkan daya tahan dan kekuatan fizikal agar tidak mudah ditewaskan dalam perebutan bola serta mampu bermain dalam rentak tinggi sepanjang perlawanan,” kata Shamine.
Selain aspek fizikal, Shamine turut menekankan kepentingan kekuatan mental untuk menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.
"Bermain di peringkat global memerlukan ketahanan mental yang tinggi. Kami perlu memastikan bahawa tekanan tidak menggugat prestasi serta membina keyakinan diri untuk menyaingi pasukan yang lebih berpengalaman,” katanya.
Skuad remaja wanita negara, Young Tigress yang dibimbing Lailin Abu Hassan, serta skuad lelaki, Young Tigers kendalian I Vikneswaran, telah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia Remaja masing-masing yang berlangsung di Chile dan India.