PADA 2 April lalu, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggoncang dunia dengan mengumumkan tarif baharu ke atas lebih 180 negara termasuk Malaysia.
Langkah unilateral tersebut menjadi simbol keruntuhan naratif perdagangan bebas yang sekian lama menjadi asas globalisasi moden dan sering dicanangkan oleh Negara Uncle Sam terbabit.
Susulan itu, Malaysia kini berdepan kadar tarif timbal balik sehingga 24 peratus sekali gus memberikan satu tamparan besar kepada ekonomi negara.
Namun situasi beberapa negara serantau lain seperti Kemboja dan Vietnam lebih parah kerana kadar tarif dikenakan lebih tinggi mencecah 40 peratus.
Lebih daripada sekadar perang dagang, tindakan Washington kali ini adalah isyarat bahawa dunia sedang beralih daripada kerjasama kepada konfrontasi iaitu daripada sistem terbuka kepada proteksionisme baharu.
Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh sekadar pasrah, sebaliknya, ini masa terbaik untuk merombak semula strategi perdagangan, memperbaharui dasar pelaburan dan memperkasa diplomasi ekonomi.
Ramai penganalisis berpandangan sudah tiba masanya Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap AS dan China, dan mempelbagaikan pasaran eksport secara sistematik.
Berikutan itu, Malaysia harus memberikan tumpuan kepada pasaran bukan tradisional seperti ASEAN, Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Justeru itu, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kekuatan ASEAN perlu dijadikan blok rundingan bersama adalah tepat.
Dengan nilai perdagangan serantau mencecah RM772 bilion pada 2022, ASEAN bukan lagi sekadar pelengkap tetapi kini kuasa ekonomi yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia dan negara anggota lain.
Pada masa sama, Malaysia tidak boleh lagi menangguhkan usaha pengukuhan ekosistem industri tempatan seperti sektor elektronik dan automotif.
Sehubungan itu, kerajaan perlu memberikan pelbagai suntikan termasuk menerusi pemberian insentif cukai, galakan pelaburan dan sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk melawan balik tekanan luar.
Malaysia juga mesti mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan nilai tambah khususnya dalam pengeluaran produk elektronik dan kimia bernilai tinggi.
Ini penting kerana sektor elektrik dan elektronik kini menyumbang lebih 30 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara.
Dalam era tarif sebagai alat tekanan, diplomasi ekonomi tidak boleh lagi bersifat reaktif. Malaysia perlu proaktif, menggandakan rundingan bukan sahaja dengan AS, tetapi juga rakan strategik seperti Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.
Malah, cadangan supaya ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan duduk semeja menekan AS, patut dipertimbangkan secara serius.
Namun, dalam setiap krisis ada peluang dan peralihan rantaian bekalan global kini membuka ruang kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab pelaburan baharu terutama dalam sektor semikonduktor, bioteknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Jadi jika strategi dirancang kerajaan tepat dan berjaya, maka tidak mustahil Malaysia boleh menjadi destinasi pilihan syarikat antarabangsa yang ingin keluar dari China mahu pun AS.