PUTRAJAYA - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia dikenakan tindakan oleh parti itu susulan pendirian yang diambil mereka mengenai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Mukhriz yang sedia dipecat daripada parti memaklumkan akan terus memberi penerangan kepada ahli parti itu hingga ke akar umbi.
"Itu satu risiko yang kami terpaksa hadapi. Kami masih berjawatan dalam parti termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti akan beri penerangan kepada ahli parti kami sampai ke peringkat akar umbi untuk menerangkan dan menjelaskan apa yang berlaku.
"Keputusan yang dibuat pimpinan majlis tertinggi parti tidak langsung memihak kepada Muhyiddin," katanya kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua sayap Bersatu di sini hari ini.
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum ini juga sebulat suara membuat keputusan untuk meminta Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.
"Pada MPT parti sebelum ini secara jelas membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri hanyalah Dr Mahathir.
"Tidak pernah ada satu keputusan dari MPT menyatakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri," katanya.
Katanya, MPT sebelum ini juga sebulat suara membuat keputusan untuk minta Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.
"Jadi itu pun satu ketetapan daripada MPT. Tidak benar sama sekali mana-mana kenyataan bahawa beliau tidak lagi pengerusi parti," katanya.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, beliau menyertai Bersatu bagi membersihkan politik dan menentang pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Sebagai pemimpin muda, saya harus berani kerana benar dan sesekali tidak akan bersetuju bekerjasama dengan UMNO.
"Saya beri pendirian ini dan tidak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah dan tindakan diambil ke atas saya biarlah kerana percaya dan berpendirian teguh dengan pendirian berani kerana benar," katanya.
Terdahulu, perjumpaan itu dihadiri Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Datuk A Kadir Jasin.
Perjumpaan yang bermula pada 5 petang itu dihadiri lebih 200 ahli Bersatu daripada ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua sayap parti itu selain beberapa pemuda Parti Amanah Negara. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 'Muhyiddin khianati persaudaraan, kesetiaan'