NEW DELHI - Pihak berkuasa di India mengumumkan penahanan lebih 600 suspek susulan insiden keganasan anti-Islam yang dilancarkan kumpulan nasionalis Hindu pada minggu lalu.
Jurucakap polis bagaimanapun tidak memberikan butiran jelas tentang identiti mereka yang ditahan.
"Pihak berkuasa masih mengumpulkan bukti dan mengkaji rakaman video berhubung insiden tersebut,” ujarnya.
Ketika kejadian itu, lebih 40 orang Islam terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam keganasan pada 23 Februari lalu yang berpunca daripada protes membantah Undang-Undang Kerakyatan kontroversi diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi pada Disember lalu.
Menurut laporan akhbar Independent berpusat di United Kingdom (UK), kumpulan perusuh nasionalis Hindu menyerbu sekitar jalan utama di New Delhi dan menyasarkan masjid, kediaman, kedai milik penduduk minoriti Muslim.
"Mereka membunuh dan membakar orang Islam hidup-hidup yang tidak berjaya melarikan diri. Kumpulan perusuh tersebut melakukan tindakan keganasan tanpa perikemanusiaan termasuk ke atas kanak-kanak.
"Segelintir wanita terpaksa menyamar sebagai orang Hindu demi untuk menyelamatkan diri mereka,” menurut laporan artikel itu lagi.
Insiden keganasan itu berlaku ketika lawatan rasmi selama dua hari Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke India.
Calon Parti Demokrat untuk Pilihan Raya Presiden AS 2020, Bernie Sanders bagaimanapun menyelar bilionair hartanah terbabit kerana gagal mengkritik New Delhi atas kegagalan mereka menangani krisis sektarian tersebut.
Difahamkan, hanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keganasan terhadap Muslim dan perbuatan vandalisme ke atas masjid dan harta benda milik mereka. - Agensi