Gol penalti 'bunuh' semangat TFC

Iklan
Penjaga gol Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz (kiri) berjaya menghalang percubaan penyerang TFC, Dominique Da Sylva pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -Foto Bernama

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui gol penalti Perak pada separuh masa pertama telah 'membunuh' corak permainan anak buahnya pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini.

Nafuzi berkata, jaringan penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula pada minit ke-41 itu menyebabkan pemain-pemainnya berada di bawah tekanan sekali gus mengubah momentum permainan.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan sedemikian yang berterusan ke babak kedua mendorong pemainnya melakukan banyak kesilapan dan akibatnya, skuad Penyu dihukum dengan dua jaringan mudah oleh pasukan lawan pada minit ke-52 dan ke-79.

"Ini adalah lumrah dalam bola sepak. Apabila kita lakukan kesilapan, kita akan dihukum dan pemain perlu belajar daripada kesilapan itu.

Iklan

"Bagaimanapun, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain dan akan cuba pertingkatkan kualiti untuk permainan akan datang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pertama Liga Super menentang skuad The Bos Gaurus di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada perlawanan itu, skuad TFC yang diketuai oleh Lee Tuck tewas 1-3 kepada Perak.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic melahirkan rasa puas dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada perlawanan pertama di tempat lawan.

Namun, pada masa sama beliau turut memuji semangat juang skuad Penyu yang mempamerkan kualiti permainan tinggi terutama penjaga gol muda, Muhammad Rahadiazli Rahalim yang disifatkan sebagai watak penting dalam perlawanan malam tadi.

"Saya tidak boleh meminta lebih daripada para pemain, mereka melakukan tugas yang baik. Bukan mudah untuk datang ke Terengganu dan memenangi perlawanan ini.

"Tetapi, bagi saya penjaga gol (Muhammad Rahadiazli), beliaulah watak penting dalam perlawanan ini. Beliau banyak menyelamatkan keadaan yang tidak disangka-sangka dan saya ucapkan tahniah kepada beliau,” katanya dan menambah Perak akan berdepan Selangor pada 7 Mac ini. - Bernama