SENTUL - Pemaju hartanah, SkyWorld Development Group (SkyWorld) mengilhamkan rumah mampu milik bercirikan mewah bagi projek SkyAwani 2 Off Jalan Ipoh.Projek di bawah Residensi Wilayah itu menepati ciri rumah idaman bagi pembeli rumah pertama kerana dilengkapi dengan kemudahan serba lengkap, lokasi strategik dengan harga RM300,000.
Kurang enam bulan, 708 unit unit kediaman habis dijual dengan 60 peratus unit komersial juga telah dijual setakat kini.
Projek ini disasarkan mencapai penilaian 70 peratus QLASSIC iaitu kaedah digunapakai oleh CIDB untuk menilai mutu kerja pembinaan berdasarkan standard industri pembinaan Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, rumah ini siap awal dari jadual ditetapkan dan sedia diserahkan kepada pemiliknya.
"Saya yakin pembeli akan gembira dan kagum dengan kemudahan serta kualiti kerja yang dihasilkan.
"Lokasinya yang terletak di ibu kota pastinya memberikan nilai pelaburan kepada pemiliknya,” katanya pada sesi penerangan bersama media di SkyAwani 2 di sini Jumaat lalu.
Katanya, SkyAwani 2 dilengkapi 22 kemudahan antaranya kolam renang, dewan serbaguna, gimnasium, jakuzi dengan reka bentuk moden dan terkini.
"SkyAwani 2 ini adalah bukti kami tidak mengejar keuntungan sebaliknya menumpukan kualiti sebagai penghargaan kepada pembeli yang menyokong produk kami.
"Rumah ini juga telah mendapat pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan CSR oleh Sin Chew Anugerah Kecemerlangan Perniagaan dan Rumah Starter Terbaik disampaikan oleh StarProperty,” katanya.