KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk merampas ternakan dan mengenakan kompaun maksimum RM2,000 terhadap penternak yang membiarkan haiwan seperti lembu berkeliaran di lokasi awam termasuk di jalan raya.
Langkah ini diambil susulan dua kemalangan melibatkan lembu berkeliaran dalam tempoh kurang 24 jam termasuk satu kes mengakibatkan penunggang motosikal yang juga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut di Kilometer 7 Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang, berhampiran Hospital Besar Kuala Krai, Selasa lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, pemilik lembu masih gagal mematuhi undang-undang yang ada meskipun operasi menangkap haiwan ternakan sudah digerakkan sejak seminggu sebelum Aidilfitri.
"Pagi ini berlaku satu lagi kemalangan melibatkan lembu di Kuala Krai hingga meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.
"Kes lain pula berlaku di Jalan Keroh, yang turut melibatkan lembu berkeliaran. Dua kes dalam satu hari ini sangat membimbangkan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan khas kepada semua pihak berkuasa tempatan bagi mengintensifkan operasi lembu rayau khususnya di laluan protokol seperti dari Gua Musang ke Kota Bharu.
Beliau berkata, tindakan tegas itu akan dikenakan terhadap pemilik haiwan didapati cuai dan membiarkan ternakan mereka berkeliaran termasuk di kawasan perumahan, taman serta padang bola awam.
"Lembu ditangkap akan disita, disimpan di kandang khas dan dikeluarkan notis tuntutan kepada pemiliknya.
"Jika gagal dituntut dalam tempoh tiga hingga tujuh hari, kita akan mengenakan kompaun, caj penjagaan, serta tindakan lelong atau lupus,” katanya.
Hilmi berkata, caj dikenakan termasuk kos makanan, petugas, ubat pelali dan penjagaan lembu yang boleh mencecah lebih RM1,000 bagi setiap ekor dalam tempoh seminggu.
Katanya, Enakmen Pendaftaran Ruminan 2024 juga akan mula dikuatkuasakan selepas pewartaan untuk menggantikan Enakmen Lembu Kerbau Kelantan 1968 yang mewajibkan pemilik mendaftar haiwan ternakan mereka.
"Pendaftaran ini akan diperkasakan kepada semua ternakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, serta Jabatan Veterinar,” katanya.