[VIDEO] Mekanik rempuh sekatan jalan raya, ubah suai motosikal secara ekstrem

Iklan

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang mekanik yang dipercayai mengubah suai motosikal secara ekstrem membawa padah apabila cedera selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) dalam Operasi Penutup Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Jalan Sultan Mohamad di sini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, kejadian berlaku pada jam 9 malam, Selasa, apabila lelaki berusia 41 tahun itu bertindak melanggar papan tanda berhenti sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, lelaki berkenaan didapati melakukan provokasi serius dengan memecut laju dan merempuh SJR tersebut.

Keadaan penunggang dan motosikal selepas lelaki itu merempuh SJR di Jalan Sultan Mohamad, di Kuala Terengganu pada malam Selasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati motosikal jenis Yamaha Y16 itu telah diubah suai secara ekstrem melibatkan sistem ekzos yang mengeluarkan bunyi bising, tiada brek belakang, tiada cermin sisi, dan saiz tayar tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Iklan

"Selain itu, lelaki berkenaan juga didapati tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan yang tamat tempoh, dan tidak memiliki perlindungan insurans," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini dirawat di hospital selepas mengalami beberapa kecederaan ringan pada anggota badan.

Iklan

"Tindakan melanggar papan tanda berhenti dan SJR yang dijalankan sehingga membahayakan anggota kita adalah tindakan yang ekstrem.

"Sehubungan itu, laporan polis berhubung kes ini telah dibuat dan kita akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan Seksyen 78(2) akta yang sama kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya," ujarnya.

Mohd Zamri (dua dari kiri) menunjukkan motosikal yang ditahan selepas merempuh SJR pada malam Selasa.

Jelasnya, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan keselamatan jalan raya dan mengelakkan tindakan ekstrem berbentuk provokasi dalam kalangan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 25,627 kenderaan telah diperiksa sepanjang Ops HRA 2025 yang bermula dari 24 Mac hingga 8 April lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,237 kenderaan diambil tindakan dan 4,738 notis dikeluarkan.

"Sepanjang tempoh itu, kita mengenal pasti enam kesalahan popular iaitu tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (577 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (738 kes), tiada perlindungan insurans (651 kes), cermin gelap (203 kes), dan 383 kes bagi kesalahan lain-lain," ujarnya.