SIKAP alpa membawa padah kepada Felda United apabila gagal mengutip tiga mata penuh walaupun mendominasi perlawanan semasa menentang PJ City FC pada saingan Liga Super.
Ketua Jurulatih Felda, United Mohd Nidzam Jamil mengakui sikap itu mula 'kelihatan' selepas pasukannya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-47 menerusi Muhammad Ariff Farhan Md Isa.
"Inilah masalah (alpa) yang perlu diselesaikan dan menjadi keutamaan, perkara yang perlu diubah sebelum perlawanan akan datang. Kita mendominasi separuh masa pertama dan kedua sehingga menjaringkan gol.
"... dan secara tiba-tiba kita berubah sikap. Sepatutnya selepas menjaringkan gol pertama, kita perlu teruskan rentak permainan untuk mencari gol seterusnya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan Mahali Jasuli muncul wira PJ City FC apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74, menjadikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Walaupun kecewa dengan sikap itu, Mohd Nidzam berkata, perlawanan itu juga memberi pengalaman berharga kepada mereka khususnya bagaimana hendak menangani dua penyerang import bersaiz besar daripada pasukan lawan.
Katanya, pujian harus diberikan kepada pemain pertahanan tengah Felda United Muhammad Azarul Nazarith Azhar kerana berjaya 'merantai' pemain itu walaupun dirinya bersaiz kecil.
"Dia menunjukkan kawalan bola yang baik dan jika boleh mengekalkan rentak cemerlang itu, masa depannya dalam sukan ini dilihat cerah," katanya.
Sementara itu, pengendali PJ City FC, K. Devan mengakui, anak buahnya perlu menambah baik aksi mereka khususnya dalam aspek hantaran bola, kerjasama antara pemain dan kebolehan mencipta penyudah yang baik.
Beliau berkata, pasukannya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun gagal dimanfaatkan mereka.
"Gol kita dibolosi pada awal permainan, namun kita berjaya menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua selepas bermain dengan lebih agresif," katanya. -Bernama