SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mendakwa tidak mahu berputus asa dengan perubahan politik negara selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Hari ini, beliau menyifatkan dirinya bangkit dengan semangat baharu.
"Semalam saya berputus asa. Hari ini saya bangun dengan resolusi untuk melawan rasuah, penipu dan pengkhianat! #Kami akan kembali,” tulisnya dalam status dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Status tersebut mendapat 14,000 emoji, lebih 1,000 komen dan perkongsian daripada rakan Facebook serta pengikutnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepimpinan politik, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri kelapan
Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari, tindakan yang mencetuskan krisis politik tanah air sehingga menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti politik tanah air.