KUALA LUMPUR - Saham Eden Inc Bhd dan Thriven Global Bhd muncul menjadi kaunter paling aktif diniagakan pada sesi dagangan pagi hari ini susulan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Pada 10.30 pagi, Eden meningkat tujuh sen atau 35.89 peratus kepada 26.5 sen, dengan 138.40 juta saham didagangkan, manakala warannya naik empat sen kepada lapan sen dengan 38.46 juta saham bertukar tangan.
Thriven Global pula melonjak sembilan sen atau 40.90 peratus kepada 31 sen dengan 37.74 juta saham diniagakan manakala warannya menambah tujuh sen atau 280 peratus kepada 9.5 sen dengan 22.26 juta saham bertukar tangan.
Kedua-dua kaunter tersebut dikaitkan dengan anak Muhyiddin, Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin.
Affin Hwang Capital Research menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata, saham seperti Eden dan Thriven Global yang dikaitkan dengan anak Perdana Menteri boleh mengalami minat pelabur yang tinggi.
"Kaunter berkaitan UMNO dan MCA juga dijangka menerima minat pelabur yang tinggi -- seperti firma media, Media Prima dan Star,” menurutnya.
Muhyiddin, 72, memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri hari ini selepas menerima suratcara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi semalam.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Isnin lepas, 24 Februari.-Bernama