Covid-19: KKM siasat bekas menteri, timbalan menteri

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan seorang Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings disahkan positif Covid-19.

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat bekas menteri dan timbalannya dikhuatiri dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, dua kenamaan tersebut dikaitkan dengan seorang Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings yang disahkan positif wabak itu, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

"KKM ingin merujuk kepada maklumat yang ditularkan di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikatakan disyaki dijangkiti Covid-19 dan dikaitkan dengan kes ke-26, perkara ini sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM," katanya.

Menurutnya, lima kontak rapat kepada individu telah disaring dan disahkan negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Iklan

"Antara kontak tersebut adalah keluarga, seorang pembantu khasnya dan seorang kakitangan kesihatan swasta," katanya.

Beliau berkata, KKM terus akan menjalankan siasatan dan pengesanan kontak rapat.

Iklan

"KKM juga ingin menegaskan bahawa siasatan ke atas kes positif Covid-19 serta pengesanan kontak dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan wabak berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai diingatkan agar tidak menularkan berita mengenai kes jangkitan Covid-19 yang tidak disahkan oleh KKM.

"Ia bagi mengelakkan situasi panik dan salah faham dalam masyarakat," katanya.

Menurutnya, tiada kes baharu dilaporkan setakat ini.

"Jumlah kumulatif kes Covid-19 sehingga hari ini kekal 29 kes, iaitu 17 orang dalam kalangan kes Patient Under Investigation (PUI), 10 individu dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 orang warganegara Malaysia dan tiga orang adalah Amerika Syarikat, Jepun dan Itali," katanya.

Daripada 29 kes positif, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang.

Kesemua pesakit dalam keadaan stabil.