Ketika jiwa pencen memilih al-Quran

Iklan
Dr Sharifah Mastura (tengah) yang turut mengajar mengaji al-Quran kepada wanita di Bachok. Dr Sharifah Mastura (tengah) yang turut mengajar mengaji al-Quran kepada wanita di Bachok.
Dr Sharifah Mastura (tengah) yang turut mengajar mengaji al-Quran kepada wanita di Bachok.

BACHOK - Usia persaraan bagi sesetengah warga emas adalah masa untuk berehat dan menenangkan diri.

Namun bagi Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad, ia adalah detik permulaan sebuah perjuangan yang besar — menyelamatkan ummah dengan cahaya al-Quran.

Iklan
Iklan

Bermula awal 2018, beliau yang pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, memilih untuk membina wakaf ilmu di atas tanah keluarga di Kubang Golok, Bachok.

Di situlah tertubuhnya Rumah Ngaji ALA, sebuah ruang terbuka yang kini menjadi tempat bertaut hati-hati yang dahulunya asing dengan kalam Allah.

Iklan

"Saya memang niat selepas bersara nak buat sesuatu yang bermanfaat.

"Kita semua akan kembali kepada-Nya, jadi biarlah masa yang ada ini digunakan untuk belajar dan mengajar al-Quran,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Isteri para petani dan nelayan di Bachok yang kini makin mencintai al-Quran. Isteri para petani dan nelayan di Bachok yang kini makin mencintai al-Quran.
Isteri para petani dan nelayan di Bachok yang kini makin mencintai al-Quran.

Iklan

Rumah ngaji itu bermula kecil dengan sasaran awal hanya golongan isteri nelayan dan petani sekitar Perupuk, Kemasin dan Merabang. Dari 20 orang, kini jumlah itu melonjak kepada lebih 80 peserta tetap.

Mereka datang dengan pelbagai latar belakang, ada guru, suri rumah, ada yang tidak tahu langsung membaca Quran, malah tidak pernah sentuh Iqra’.

Namun semuanya berubah apabila diberi ruang dan bimbingan. Hari demi hari, mereka makin dekat dengan al-Quran. Yang dahulunya ‘buta’, kini sudah mampu membaca dan memahami isi kandungan surah.

"Kami gunakan pendekatan mudah, yang tak pandai mengaji pun boleh ikut.

"Kami bacakan terjemahan, kupas sedikit-sedikit dan yang penting mereka rasa al-Quran itu hidup dalam hati mereka,” ujar Dr Sharifah.

Tenaga pengajarnya terdiri daripada sukarelawan wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan alumni Program Training of Trainers Interaksi Quran (ToTIQ) — satu latihan khas untuk pengajar al-Quran di bawah bimbingan Pentadabbur MyQurantime, Fazrul Ismail. Kesemuanya bekerja tanpa gaji, semata-mata untuk memberi.

Kelas mengaji al-Quran yang dijalankan secara percuma di Kubang Golok, Bachok.

Kesan paling besar yang dirasai ialah perubahan sikap dan suasana dalam komuniti dan ukhwah makin erat.

Pada Ramadan baru-baru ini, tadarus dijalankan setiap hari dan lebih 50 orang berjaya khatam al-Quran bersama-sama.

Anak-anak pula tidak terkecuali mengikuti Kelas al-Quran Junior pada tisp Selasa dan Jumaat.

"Kita nampak perubahan generasi. Dahulu hanya ibu dan nenek mereka yang datang mengaji, kini cucu pun ikut sama.

"Ada peningkatan 30 peratus celik al-Quran dalam kalangan penduduk setempat termasuk dulu mula dari kosong, kini mampu mengajar Quran kepada orang lain pula,” kata beliau.

Dr Sharifah menyifatkannya sebagai satu bentuk penyelamatan ummah secara senyap, tapi besar maknanya.

"Harapnya andai saya sudah ‘tiada’ nanti, anak-anak dan cucu-cucu dapat teruskan amal soleh ini.

"Seronok apabila setiap yang ALLAH bagi, kita dapat pulangkan semula untuk agama-Nya,” ujar beliau.