Sabah berpotensi jadi penyumbang utama bekalan makanan negara - Ewon

Iklan
Ewon (kiri) dan Yahya (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran majlis pecah tanah tanaman jagung bijian di Kampung Mosolog, Kota Marudu. Ewon (kiri) dan Yahya (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran majlis pecah tanah tanaman jagung bijian di Kampung Mosolog, Kota Marudu.
Ewon (kiri) dan Yahya (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran majlis pecah tanah tanaman jagung bijian di Kampung Mosolog, Kota Marudu.

KOTA MARUDU – Sabah berpotensi besar menyumbang kepada keterjaminan makanan negara sekiranya sektor pertanian dan penternakan dibangunkan secara mampan, termasuk menerusi usaha penanaman jagung bijian yang kini mula dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sebagai permulaan, penanaman jagung bijian telah dimulakan di kawasan seluas 60.7 hektar.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, tanaman ini dijangka berkembang menjelang tahun 2030 melibatkan keluasan 2,023 hektar dan keseluruhan projek tersebut membabitkan pelaburan bernilai RM25 juta.

"Saya percaya ia akan menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara kita, khususnya jagung bijian, dan dalam masa yang sama menyumbang kepada aktiviti ekonomi negara, khususnya di Sabah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Penanaman Jagung Bijian di Kampung Mosolog, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, negara ketika ini sangat bergantung kepada bekalan makanan yang diimport dari luar.

"Dalam soal bekalan makanan dalam negara, kadar kebergantungan kepada input makanan sangat tinggi.

Iklan

"Mari kita ambil iktibar daripada isu bekalan makanan, terutama beras, yang pernah menjadi isu tahun lalu apabila berlaku kekurangan dalam pasaran ketika itu.

"Saya percaya tanah-tanah yang luas di Sabah boleh dibangunkan untuk menangani insiden sedemikian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata projek perintis penanaman jagung bijian yang dilaksanakan Koperasi Tanjung Keramat Malaysia Berhad dengan kerjasama Emat Sdn Bhd merupakan salah satu inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import.

"Itu sebab saya datang hari ini untuk menyarankan kepada koperasi dan pemilik tanah supaya bekerjasama dengan mana-mana syarikat lain, atau atas inisiatif sendiri, bagi membangunkan tanah milik mereka untuk pertanian dan penternakan yang menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

"Kami di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi sokongan penuh kepada perusahaan pertanian ini melalui penyediaan tabung modal pusingan.

"Bagi sektor agropertanian sahaja, sebanyak RM100 juta setiap tahun boleh disalurkan kepada koperasi bagi membolehkan mereka memperoleh pembiayaan dan mengembangkan perusahaan masing-masing dalam bidang penanaman atau penternakan, supaya akhirnya kita boleh berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri,” jelasnya.

Untuk rekod, Ewon memaklumkan sebanyak 3,787 koperasi terlibat dalam sektor pertanian di seluruh negara setakat tahun lalu, dengan keanggotaan seramai 630,766 orang.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 90 koperasi di Sabah terlibat dalam industri asas tani,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Tanjung Keramat, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, pelaksanaan projek rintis penanaman jagung bijian secara besar-besaran itu diyakini mampu membantu rakyat di daerah ini mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Sabah.

"Jika tanaman ini menjadi, sudah tentu ia akan memberi manfaat menang-menang, bukan sahaja kepada koperasi tetapi juga rakyat di daerah ini.

"Kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan memberikan keuntungan kepada pemilik tanah yang terlibat,” katanya.