BUTON, SULAWESI TENGGARA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut selepas dibelit dan hampir ditelan seekor ular sanca sepanjang 6.5 meter dalam kejadian di sebuah kebun berhampiran rumahnya di Kabupaten Buton, Sulawesi Tenggara.
Mangsa, Wa Siti, 55, ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh anaknya dengan kepala sudah berada dalam mulut reptilia berkenaan.
Ketua Polis Pasarwajo, Inspektor Hardi berkata, kejadian disedari selepas anak mangsa terdengar jeritan lalu bergegas ke lokasi sebelum menemui ibunya dalam keadaan mengerikan.
"Anaknya menemui ibunya yang telah dibelit ular besar dan kepala mangsa berada dalam mulut haiwan itu,” katanya.
Difahamkan, penduduk kampung yang tiba di lokasi segera bertindak membunuh ular tersebut namun gagal menyelamatkan mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pakar herpetologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Amir Hamidy mengesahkan ular terbabit adalah daripada spesies sanca batik (Python reticulatus) yang sememangnya terdapat di kawasan hutan Sulawesi.
"Sanca batik adalah antara ular terpanjang di dunia dan boleh mencapai panjang lebih tujuh meter di habitat liar,” katanya.
Kejadian seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan berlaku di Sulawesi yang merupakan habitat semula jadi spesies reptilia pemangsa itu.