Ketua Polis Negara bertemu Tun M

Iklan
Abdul Hamid meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Kuala Lumpur semalam. Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini.

Pertemuan itu berlangsung lebih sejam dan Abdul Hamid ketika meninggalkan YKP tidak menjelaskan tujuan pertemuan selepas disapa petugas media yang menunggu di luar yayasan itu.

Iklan
Iklan

Dr Mahathir berada di YKP sejak jam 9.50 pagi sebelum dilihat keluar pada kira-kira jam 12.35 tengah hari dan kembali pada kira-kira jam 2.30 petang.

Turut dilihat berkunjung ke YKP hari ini ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin.

Iklan

Tian Chua ketika ditanya mengenai kehadirannya di YKP berkata, beliau tidak mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

"Saya di sini untuk berjumpa dengan pegawai (Dr Mahathir) bagi menyelesaikan beberapa dokumen serta sedikit perbincangan. Jadi, tolong jangan buat sebarang andaian," katanya.

Iklan

Tian Chua berkata, tiada apa yang mencurigakan mengenai kehadirannya di YKP sambil menambah beliau tidak mahu membebankan Dr Mahathir dengan perkara 'berat'.

"Tiada apa yang mencurigakan. Saya tidak mahu membuang masa beliau," katanya.

Diminta mengulas insiden semalam yang menyaksikan beliau diserang penyokong PKR, Tian Chua berkata,"Itu perkara kecil. Saya tidak mahu membesar-besarkannya. Janganlah buat sebarang spekulasi lagi. Cukup-cukuplah dengan kisah lama ini."

Tian Chua dilaporkan diserang segelintir penyokong parti di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam. - Bernama